Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 pelajar mulakan perantisan di IBTE JBC

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 11 OKT – Seramai 20 orang pelajar baharu telah memulakan perjalanan perantisan mereka dalam Penarafan Dek dan Enjin di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) dengan Hari Orientasi bagi pengambilan Oktober 2023 yang bermula hari ini.

    Pengetua IBTE Satelit, Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab hadir menyaksikan hari pertama orientasi di mana beliau dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa pelajar-pelajar baharu berkenaan akan menjalani latihan teori dan praktikal selama setahun.

    “Alhamdulillah, enam agensi dalam industri perkapalan telah memberikan tawaran pekerjaan bersyarat kepada bakal pelajar ini bagi Perantisan dalam Penarafan Dek dan Perantisan dalam Penarafan Enjin.

    “Dengan itu, saya menasihati pelajar supaya tidak mensia-siakan peluang unik ini untuk komited belajar dan mengembangkan pengetahuan mereka, untuk menyelesaikan kursus perantisan,” nasihatnya kepada para pelajar berkenaan.

    Beliau menambah bahawa dalam beberapa hari akan datang, pengambilan pelajar baharu berkenaan akan mendapat gambaran berharga tentang kerja dalaman kampus di mana mereka akan menghabiskan tempoh setahun untuk mengasah kemahiran serta membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran kepimpinan dan membentuk persahabatan yang berkekalan selaras dengan visi institut.

    Semasa orientasi, para pelajar mengangkat sumpah institut yang diikuti dengan beberapa taklimat yang diadakan oleh pihak pentadbiran sekolah.

    Hari orientasi akan diteruskan lagi dalam dua hari akan datang di mana lebih banyak taklimat dan aktiviti bakal diadakan bagi para pelajar membiasakan diri dengan kampus.

    Turut hadir ialah Ketua Akademi Maritim Brunei, Awang Mohd Iskandar bin Haji Jani; Pengurus Akademik IBTE JBC, Dayang Rosmah binti Haji Salman, dan Pengurus Operasi IBTE JBC, Hajah Hanita binti Haji Hussain.

    Para pelajar pengambilan baharu mengangkat sumpah pada hari pertama orientasi berkenaan. – Gambar oleh Daniel Lim
    Penyampaian taklimat diadakan sebagai sebahagian daripada hari orientasi berkenaan. – Gambar oleh Daniel Lim

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda