Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 pelajar OKU bantu pelihara alam sekitar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Seramai 20 pelajar orang kelainan upaya (OKU) dari Pusat Bahagia telah menyertai aktiviti penanaman 40 anak-anak pokok jenis Tabeiua Rosea dan Casuarina Nobilis di Taman Riadah, Jalan Menteri Besar, kelmarin.

    Aktiviti itu dikendalikan bersama oleh tujuh orang pegawai Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-30, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama Bahagian OKU di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi Kementerian Pembangunan.

    Hadir sama-sama melakukan aktiviti penanaman pokok ialah Pemangku Pengarah Perhutanan, Jabatan Perhutanan di KSSUP, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Dayang Irnawati binti Haji Mahir.

    Ia merupakan sebahagian daripada projek Community Outreach di bawah EDPMMO ke-30 yang bertujuan mengetengahkan sumbangan golongan OKU kepada usaha memelihara kedayatahanan hutan dan alam sekitar sekali gus mendukung usaha pengurangan kesan perubahan iklim di negara ini.

    Ia juga dihasratkan meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan golongan OKU sebagai masyarakat yang mampu menyumbang kepada kepentingan negara secara umum.

    Projek yang diungkayahkan oleh para pegawai berkenaan itu berjalan selama dua minggu dengan menumpukan perhatian kepada kebajikan dan kesejahteraan golongan
    OKU dan kajian berkumpulan bagi me-ngenal pasti aspek-aspek penambahbaikan dalam pengurusan hal ehwal OKU.

    Menurut kenyataan dari Bahagian OKU JAPEM, aktiviti ringkas ini memberikan impak tinggi terhadap warga OKU terutamanya yang membabitkan penglibatkan mereka dalam
    masyarakat.

    Ia diharap menjadi titik tolak bagi kerjasama berterusan dengan agensi-agensi dan rakan strategik di negara ini dalam usaha mengubah pola pemikiran dan stigma masyarakat awam mengenai golongan tersebut.

    Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak ketinggalan menyumbang tenaga mendukung usaha mengurangkan kesan perubahan iklim negara dan memelihara kedayatahanan hutan apabila terbabit dalam penanaman 40 anak-anak pokok di Taman Riadah, Jalan Menteri Besar, kelmarin. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Antara pelajar OKU yang menyertai aktiviti penanaman pokok berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda