Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV- Seramai 20 pelajar dari Tahun 8 hingga Tahun 10 yang mewakili Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Menengah Sayyidina Husain dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha telah menyertai Forum dan Bengkel Voices of Children bertemakan Menghubungkan dan Melindungi atau Connect and Protect bersempena sambutan global Hari Kanak-kanak Sedunia 2025.
Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama agensi kerajaan, swasta dan persatuan bukan kerajaan, bertempat di Rumah Al-Hamasah, Kompleks Sukan Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Awang Haji Nazmi Mohamad. Turut hadir, Setiausaha Tetap (Kebudayaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh; pegawai-pegawai kanan KKBS; rakan strategik; serta Pesuruhjaya Brunei Darussalam ke ACWC bagi Hal Ehwal Kanak-kanak, Dato Paduka Haji Omar bin Haji Khalid, selaku pengerusi majlis.

Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis yang menekankan tema Dengarkan Suara Masa Hadapan, menyentuh kepentingan melindungi kanak-kanak, menyokong pendidikan dan kesihatan mereka, serta memastikan suara generasi muda didengari dalam keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka. Beliau turut menggariskan cabaran era digital termasuk buli siber, maklumat palsu dan tekanan kesihatan mental, selain menegaskan usaha berterusan ASEAN dalam perlindungan digital kanak-kanak.
Acara diserikan dengan persembahan nyanyian daripada dua penuntut Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Awang Mohammad Farhun Azka bin Haji Rizalenono dari Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 dan Awang Mohammad Aminur Rafiuddin bin Mohammad Azlan @ Anasta Dasuki dari Sekolah Rendah Dato Marsal.


Forum ini menyediakan ruang kepada para pelajar untuk berkongsi pandangan mengenai keselamatan digital, isu buli dan kesejahteraan mental, selain meningkatkan kesedaran tentang penggunaan teknologi secara beretika dan seimbang. Program turut menghasilkan Youth Digital Safety & Wellbeing Statement sebagai suara generasi muda mengenai masa depan digital yang selamat.
Sesi forum yang dikendalikan oleh Naib Presiden MyActionsforSDGs, Dayang Siti Rafhanah binti Nor mengetengahkan empat taklimat iaitu daripada Pegawai Kerja Sosial JAPEM, Dayang Nur Amalizaan binti Haji Jamal yang menyentuh mengenai dengan usaha pengukuhan perlindungan kanak-kanak dalam talian termasuk peranan Talian Anak 121, rujukan sekolah dan kerjasama komuniti dan daripada Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), INSP Muhammad Zulfadli bin Haji M Suhaili, tentang tatacara penyiasatan kes kanak-kanak melibatkan buli siber, grooming, eksploitasi dan sextortion.
Semua di atas: Antara suasana semasa acara berkenaan.
Taklimat berikutnya daripada Pengurus Penyiaran & Peraturan Kandungan AITI, Dayang Nur Syamimi binti Suhaimi, mengenai dengan literasi digital, risiko kandungan AI, deepfake serta peranan pengawal selia dan daripada Pegawai Operasi Cyber Security, Dayang Nomi Hafiz Zakiah binti Haji Pawi yang menerangkan tentang ancaman siber lazim dalam kalangan remaja termasuk oversharing dan kepentingan tabiat yang selamat dalam talian.
Pada sebelah petang, Dayang Nur Syamimi binti Suhaimi bertindak sebagai fasilitator mengendalikan bengkel bersama lima pakar daripada JAPEM, PPDB, Cybersecurity, ACWC dan Kementerian Kesihatan. Bengkel dibahagikan kepada empat kumpulan yang membincangkan tajuk-tajuk seperti Perlindungan terhadap segala jenis buli; Mencari keseimbangan dalam Kehidupan Digital dan Kesihatan Mental; Kecerdasan buatan, Hak Kanak-kanak dan Keselamatan atas talian dan Tanggungjawab bersama dalam Keselamatan Kanak-kanak dan Perlindungan.


