Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Seramai 20 orang pemenang bertuah terdiri daripada pemegang kad Bank Baiduri telah membawa pulang pelbagai hadiah menarik pada majlis penyampaian hadiah bagi kempen Get Raya-ready with Baiduri Deals yang diadakan di Atrium Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini.
Kempen itu, yang berlangsung dari 1 Mac hingga 30 April lalu, direka untuk memberi ganjaran kepada pemegang kad Bank Baiduri yang berbelanja di perniagaan atau perusahaan yang mengambil bahagian dengan Baiduri Deals.
Untuk setiap $100 terkumpul yang dibelanjakan, pelanggan memperoleh satu penyertaan ke dalam cabutan bertuah. Kempen ini bukan sahaja menggalakkan membeli-belah perayaan menjelang hari raya tetapi juga menyokong rangkaian rakan runcit tempatan bank yang kukuh.
Perniagaan yang mengambil bahagian dalam kempen tahun ini termasuk Euro Classic, Zen Spa, Intracorp, Thomson Furniture, Fabrica, IA Salon, 99 Mobile, Icarus Sdn Bhd, Futurestore, The Face Shop, AV Electronics, Shoo Lab, Oleah Co, Sweet Miko, Scalp Haircare Specialist, Le Apple, Lof Bakery, Junjung Majestic Delicacies, Tyretech Enterprise dan KM Car Detailing Centre.
Para pemenang memenangi hadiah termasuk Apple Watch Series 10, TV Android 4K HDR 50 inci, baucar makan bernilai $500 dan pakej kecantikan dan kesihatan yang sama nilai.
Kempen berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bank Baiduri untuk menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai, menyampaikan pengalaman nilai tambah untuk pemegang kad dan mempromosikan ekosistem runcit Brunei yang semakin berkembang.
Sehubungan itu, semasa menyampaikan ucapan di majlis itu, Ketua Perbankan Runcit, Lim Kian Chiong berkata, program Baiduri Deals adalah lebih daripada promosi bermusim. Ia mencerminkan komitmen bank untuk menyampaikan nilai bermakna kepada pelanggan sambil mengukuhkan sokongan untuk perniagaan tempatan.
“Kami gembira melihat penyertaan yang begitu bersemangat dan mengucapkan tahniah kepada semua pemenang kami,” ujarnya.
Baiduri Deals ialah program keistimewaan sepanjang tahun Bank Baiduri yang menawarkan diskaun dan faedah eksklusif kepada pemegang kad di pelbagai peniaga tempatan yang mengambil bahagian.
