Wednesday, February 12, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 peserta perdengarkan hafazan hari pertama musabaqah

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Seramai 20 orang peserta bagi Kategori A, B C dan D telah memperdengarkan hafazan masing-masing pada hari pertama Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu khas di majlis tersebut, Pemangku Pengarah Penjara di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Bahrin bin Mohammad Yassin.

    Turut hadir, ketua-ketua jabatan dan bahagian serta para pegawai kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan juga para jemputan dari agensi kerajaan serta institusi pengajian berkenaan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tenaga pengajar di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Yusairi bin Asbol.

    Pada tahun ini, 25 peserta yang mana lima peserta bagi setiap kategori layak bertanding di Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah, iaitu yang mencapai markah 75 peratus ke atas. Peserta-peserta yang layak bertanding di peringkat akhir tersebut merupakan mereka yang telah berjaya melalui musabaqah di peringkat saringan dan peringkat separuh akhir.

    Awang Bahrin hadir pada Musabaqah Menghafaz Al-Quran yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang hadir semasa pertandingan tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Kategori A merupakan menghafaz satu juz Al-Quran iaitu Juz 30 berserta pemahaman Juz 30 yang terbuka kepada peserta berumur 13 tahun ke bawah; manakala Kategori B adalah menghafaz surah-surah pilihan iaitu Surah Luqmaan, Surah As-Sajdah, Surah Yasin, Surah Ad-Dukhan, Surah Ar-Rahmaan, Surah Al- Waqi’ah, Surah Al-Jumu’ah, Surah Al-Mulk, Surah Al-Jinn, Surah Al-Insan berserta pemahaman Surah Al-Qasas dan Surah Al-‘Ankabut dan terbuka kepada peserta yang berumur 14 tahun ke atas.

    Sementara Kategori C, menghafaz tiga juz Al-Quran iaitu Surah Al-Baqarah dan Surah Ali-‘Imraan berserta pemahaman Surah Yusuf, Surah Ar-Ra’d dan Surah Ibrahim, yang dibuka kepada semua peringkat umur.

    Bagi Kategori D, menghafaz 15 Juz Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga Juz 15 berserta pemahaman Surah As-Saffat; Surah Sad dan Surah Az-Zumar itu terbuka kepada semua peringkat umur, dan tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam kategori 30 juz. Johan dalam Kategori D dua kali berturut-turut hanya boleh menyertai musabaqah ini selepas dua tahun (dari tahun kedua) menjadi johan itu, dan tidak pernah menjadi johan dalam Kategori E.

    Majlis akan disambung lagi pada hari kedua, 12 Februari, bagi Kategori E dan diselajurkan dengan penyampaian sagu hati kepada peserta dan cenderamata kepada hakim-hakim musabaqah.

    Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya merupakan acara tahunan dan dikendalikan oleh Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS dalam usaha berterusan untuk melahirkan golongan penghafaz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam yang mampu menghafaz Al-Quran dengan sangat baik dan sempurna serta dapat memahami ayat-ayat suci Al-Quran.

    Di samping menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai satu kebiasaan dan amalan hidup setiap hari dalam kalangan kanak-kanak dan remaja khususnya, dan umat Islam di negara ini amnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda