Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAM 26 JULAI – Lebih 20 peserta dari agensi kerajaan dan swasta hari ini menghadiri pembukaan bengkel kewartawanan yang berlangsung empat hari anjuran Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Penerangan di Dewan Istiqbal, Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Gadong.
Bengkel Basic Journalism: News, Feature and Photojournalis itu dipermudahkan oleh konsultan tempatan dari Mind Matters Consultant, Awang Zainal bin Tinggal, yang menekankan nilai-nilai pengurusan media secara menyeluruh.
Ia membincangkan ciri menjadi jurnalis yang baik iaitu memiliki rasa ingin tahu sehingga menjadikan ‘mata, telinga dan hidung ‘ berperanan dengan daya kesedaran kuat dalam hal ehwal persekitaran mereka. Selain itu, ciri lain adalah menanai amanah dalam menyampaikan berita mahupun rencana dengan penuh dedikasi dan gigih berteraskan etika yang baik.
Selain itu, penyebaran berita juga perlulah disampaikan segera mungkin agar berita berkenaan mampu menawan para pembaca. Perkara ini bagi mengelak bahan berita yang disampaikan itu basi.
Bengkel dihasratkan bukan sahaja untuk menimba pengetahuan, malah memantapkan kemahiran, pemikiran yang meliputi aspek teknik dan kaedah metodologi agar dapat menulis, menemu bual, merakamkan gambar yang menarik sehingga terhasilnya gaya penulisan berita mahupun rencana bercirikan jiwa jurnalistik yang sebenar bagi santapan minda para pembaca serta memperbaiki tahap penulisan peserta.
