Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Seramai 20 orang guru dari sekolah-sekolah Arab dan agama menyertai Kursus Asas Guru Bimbingan dan Kaunseling bagi Guru-guru Persekolahan Arab dan Ugama selama tujuh hari.
Kursus yang dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Islam (JPI) itu berlangsung di Bilik Persidangan, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop.
Kursus disampaikan oleh tiga orang pegawai dari Unit Perkhidmatan Kaunseling, JPI selaku fasilitator iaitu Pegawai Kaunseling, Hajah Dayang Masiryanti binti Haji Awang Mashor; Penolong Pegawai Kaunseling, Awang Emran bin Haji Abdul Rani @ Ranee; dan Pegawai Perantis Kaunseling, Awang Abdul Hakim bin Omar.
Hadir sama di acara program berkenaan ialah para pegawai dari jabatan berkenaan.
Program kursus untuk para guru yang diungkayahkan oleh Unit Perkhidmatan Kaunseling, Bahagian Pentadbiran, JPI, Kementerian Hal Ehwal Ugama adalah untuk memelihara kesejahteraan warga sekolah serta menangani isu sosial dan kesihatan mental.
Di samping itu, ia juga untuk memberi pendedahan dan pengetahuan yang diperlukan dalam membantu para pelajar khususnya dan juga warga sekolah yang memerlukan bimbingan.