Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Dalam usaha menyokong kelestarian alam sekitar, seramai 20 orang sukarelawan yang berdedikasi dari Bank Baiduri, melalui Baiduri Cares, telah menyertai Program Reef Ball Fabrication yang dianjurkan oleh LAUT Brunei, kelmarin.
Program berkenaan merupakan aktiviti pasca program sebagai mengiktiraf sokongan Bank Baiduri menjadi penaja untuk Ocean Week Brunei yang julung kali diadakan pada Jun lalu.
Program dimulakan dengan ceramah berkaitan pemuliharaan marin yang disampaikan oleh Pengurus Pemasaran Poni Divers, Donna Baltazar.
Sepanjang program, para sukarelawan Bank Baiduri yang terlibat berpeluang mereka 14 bola terumbu, dengan menukar bahan mentah kepada struktur penting bertujuan membantu meningkatkan ekosistem marin.
Pada akhir program, cenderamata penghargaan telah disampaikan kepada Bank Baiduri menerusi Penolong Pengurus Komunikasi Korporat dan Jenama dan Peneraju CSR (CSR Lead) di Kumpulan Pemasaran Strategik dan Komunikasi, Awang Muiz DP Haji Adnan.
Di samping itu, semua peserta turut menerima sijil masing-masing bagi mengiktiraf mereka sebagai certified Reef Ball fabricators.
Memandang ke hadapan, Bank Baiduri teruja untuk menyertai program Reef Ball Discovery akan datang bersama Poni Divers dan LAUT Brunei, yang akan menumpu pada penempatan bola terumbu dan menjalankan aktiviti penanaman karang di Pelong Rocks, Serasa.