Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Seramai 20 orang ahli sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) berdaftar pagi tadi menyertai program khidmat masyarakat membersihkan masjid yang diadakan di Masjid Sufri Bolkiah, Kampung Perpindahan Berakas.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Penolong Pengarah Urusan (Perkhidmatan Kebajikan Pembangunan Sosial) Yayasan, Awang Iswandy bin Ahmad.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha menyemai nilai-nilai murni dan meningkatkan keprihatinan sosial dalam kalangan ahli sukarelawan.
Ia jua bertujuan memastikan kebersihan masjid sebagai tempat ibadah yang suci serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Islam.
Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan masjid, menyemai nilai-nilai kerjasama dan tanggungjawab dalam kalangan sukarelawan, serta mengukuhkan hubungan dengan komuniti setempat melalui sumbangan praktikal kepada masyarakat.
Di samping itu, Yayasan juga turut menyumbangkan sebuah pembersih vakum untuk keperluan masjid berkenaan yang disampaikan oleh Awang Iswandy dan diterima oleh Imam Masjid Sufri Bolkiah, Awang Abdul Razak bin Samat.
Program itu adalah sejajar dengan visi Yayasan untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap keperluan masyarakat.
Dengan adanya inisiatif sebegini, diharapkan ia dapat memupuk semangat kesukarelawanan serta memperkukuhkan nilai-nilai murni dalam kalangan belia dan masyarakat umum.