Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Seramai 20 orang telah menerima sijil lantikan jawatan tetap masing-masing sebagai penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bagi Daerah Brunei dan Muara pada Majlis Penyampaian Sijil Lantikan yang berlangsung petang ini di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Menurut kenyataan Jabatan Daerah Brunei dan Muara, daripada jumlah berkenaan, dua dilantik sebagai Penghulu Mukim Tingkat III dan 18 lagi sebagai ketua kampung secara berjawatan tetap, setelah diperkenankan.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil-sijil lantikan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan selaku tetamu kehormat.
Beliau turut menyampaikan ucapan dan menyaksikan bacaan ikrar daripada para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang diraikan.
Mereka yang dilantik sebagai Penghulu Mukim Tingkat III ialah Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram dan Penghulu Mukim Berakas A, Awangku Amirnur Aminuddin bin Pengiran Haji Mohd Salleh.
Bagi Ketua Kampung Tingkat I ialah Ketua Kampung Beribi, Mukim Gadong B, Awang Mohd Faizal bin Haji Zaini; Ketua Kampung Mulaut, Awang Hamizan bin Haji Mustapa; Ketua Kampung STKRJ Kampung Mata-Mata Kawasan 1, 2 & 3, Mukim Gadong B, Kapten (B) Pengiran Muhammad Redzuan bin Pengiran Haji Said; Ketua Kampung Masin, Mukim Pengkalan Batu, Awang Muhammad Mu’az Hafizzuddin bin Moksin; Ketua Kampung Tungku dan Kampung Katok, Mukim Gadong A, Awang Ahmad Khairi bin Haji Hassan; Ketua Kampung Panchor Murai dan Wasan, Mukim Pengkalan Batu, Awang Moktal bin Haji Besar; Ketua Kampung Sinarubai dan Kampung Burong Lepas,Awang Muhammad Shukri bin Haji Masri; dan Ketua Kampung Serasa dan Perpindahan Serasa, Mukim Serasa, Awang Abdurrahman bin Haji Othman.
Manakala, Ketua Kampung Tingkat II adalah Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Lambak Kanan, Mukim Berakas B, Haji Mohamad Fazzly bin Haji Suhaili; Ketua Kampung Bengkurong, Mukim Kilanas, Haji Talib bin Haji Bakar dan Ketua Kampung Lugu dan Katimahar, Mukim Sengkurong, Awang Abdul Hadi bin Abdul Sani.
Bagi Ketua Kampung Tingkat III ialah Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Meragang, Mukim Serasa, Awang Mohammad bin Haji Tamin; Ketua Kampung Kawasan 1 RPN Meragang, Mukim Serasa, Awang Madzlan bin Haji Jumat; Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Panchor, Mukim Mentiri, Haji Awang Mohammad Eddie Hardey bin Haji Ibrahim; Ketua Kampung Bunut Perpindahan, Mukim Kilanas, Awang Mohammad Khairoul Johani bin Haji Jumat; Ketua Kampung Jangsak, Mukim Kilanas, Awang Muhammad Mu’izwan bin Kamran; Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Panchor, Mukim Mentiri, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad; dan Ketua Kampung STKRJ Lambak Kiri, Mukim Berakas A, Awang Mohammad Redzuan Shah bin Haji Matali.
Majlis juga menyaksikan ucapan wakil penerima lantikan yang disampaikan oleh Penghulu Mukim Kota Batu bagi pihak semua penghulu mukim dan ketua kampung yang dilantik.
Selepas selesai majlis, setiausaha tetap bersama rombongan berkunjung ke kediaman Penghulu Mukim Kota Batu untuk merasmikan papan tanda rasmi penghulu mukim.
Sementara itu, perasmian papan tanda ketua-ketua kampung yang lain diteruskan oleh pemangku pegawai Daerah Brunei dan Muara, mengikut jadual yang ditetapkan dan dijadualkan bersambung pada 21 Jun.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Perundangan, Antarabangsa dan Penyelidikan), KHEDN, Haji Ahmad Nozam bin Dato Paduka Haji Ismail; Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim serta pegawai-pegawai kanan dari KHEDN dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.