BEIJING, 9 APRIL – Seramai 20 orang dilaporkan maut dalam satu kebakaran yang berlaku di sebuah rumah jagaan warga emas di wilayah Hebei, utara China, kata agensi berita rasmi China, Xinhua, hari ini.
Menurut laporan itu, kebakaran tersebut berlaku sekitar jam 9 malam semalam, di rumah jagaan yang terletak di Daerah Longhua, kira-kira 180 kilometer dari timur laut ibu negara Beijing.
Sehingga jam 3 pagi hari ini, Xinhua melaporkan bahawa 20 orang telah disahkan meninggal dunia.
“Warga emas lain di rumah jagaan tersebut telah dipindahkan ke hospital berhampiran untuk pemerhatian dan rawatan lanjut,” tambah agensi itu.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Kebakaran maut merupakan kejadian yang agak biasa di China akibat penguatkuasaan kod bangunan yang lemah serta sikap yang cuai terhadap keselamatan di tempat kerja.
Pada Januari lalu, satu kebakaran di sebuah pasar sayur di bandar Zhangjiakou, barat laut Beijing, meragut lapan nyawa dan mencederakan 15 orang.
Sebulan sebelum itu, sembilan orang terkorban dalam satu kebakaran di tapak pembinaan di bandar Rongcheng, timur China. – AFP
