KAMPALA, 20 JUN – Polis Uganda hari ini menahan 20 orang, termasuk guru besar sekolah berhubung insiden pembunuhan beramai-ramai yang meragut 42 nyawa kebanyakannya kanak-kanak, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Supsek yang ditahan disyaki bekerjasama dengan pelampau, kata polis.
Polis Uganda menyalahkan pemberontak militia Congo Allied Democratic Forces (ADF), yang dikatakan mempunyai kaitan dengan cawangan militia pengganas Daesh, atas pertumpahan darah itu.
Pada Jumaat, kumpulan pelampau itu disyaki menyerang dan membakar sebuah sekolah dan bangunan asrama di bandar Mpdonwe berhampiran sempadan Republik Demokratik Congo (DRC).
Hampir kesemua yang maut membabitkan kanak-kanak dan beberapa daripada mangsa dibunuh dengan parang.
Lapan murid lain melecur serius dan luka terkena tembakan.
Selain itu, penyerang menculik 15 kanak-kanak perempuan dan lelaki. Nasib mereka masih belum diketahui. – Bernama


