Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Seramai 20 pemenang telah diundi oleh pihak pengurusan Milimewah Group dalam cabutan dwibulanan pertama sempena kempen cabutan bertuah Spend & Win tahunan pada majlis yang berlangsung di Jaya Centrepoint, Gadong, hari ini.
Acara cabutan yang turut disiarkan secara maya menerusi akaun Facebook Milimewah Group itu telah membukakan penyertaan pelanggan dari 10 cawangan Milimewah Group di seluruh negara bermula dari 1 November 2022 hingga 31 Disember 2022.
Pemenang bertuah akan menerima baucar membeli-belah bernilai $200, keahlian JUMM Family Card secara percuma, dan bayaran balik penuh untuk resit mereka.
Bagi pemenang yang sudah menjadi ahli JUMM, mereka akan menerima dua kali ganda jumlah bayaran balik untuk resit kemenangan mereka.
Secara keseluruhan, $2,388.55 akan diberi balik kepada pemenang.
Kempen berkenaan merupakan Kempen Spend & Win tahunan ke-6 yang diadakan oleh Milimewah Group.
Menerusi kempen berkenaan, empat cabutan dwibulanan dan satu cabutan besar akan diadakan, di mana baucar membeli-belah bernilai $43,000 akan diberikan kepada 110 pemenang bertuah.
Pelanggan yang ingin menyertai kempen ini hanya perlu membuat pembelian sebarang jumlah dan menghantar borang cabutan bertuah di mana-mana cawangan Jaya Hypermart, Milimewah Department Store, Utama Grand Superstore atau M-Porium Jaya Department Store mulai sekarang sehingga akhir Jun 2023.
Dalam pada itu, ahli JUMM akan mendapat penyertaan berganda bagi setiap pembelian yang dibuat. Cabutan dwi-bulanan ke-2 pula akan berlangsung pada 17 Mac dan cabutan utama pada 4 Ogos.