Monday, July 14, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    200 akan sertai larian, basikal malam

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Kira-kira 200 orang peserta akan sama-sama menyertai dan menjayakan Larian Fun Run 5 Kilometer, Separa Maraton 21 Kilometer dan Ekspedisi Berbasikal 21 Kilometer PKS LiveWIRE yang akan berlangsung pada malam 2 Disember bermula dan berakhir di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, nanti.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LiveWIRE Brunei, acara itu yang diadakan bersempena dengan Promosi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) LiveWIRE Brunei ke-8 yang akan diadakan di Stadium Tertutup bermula esok hingga 3 Disember dengan menyaksikan kerjasama daripada LiveWIRE Brunei, Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Kenyataan itu menjelaskan bahawa pelepasan bagi ketiga-tiga kategori larian dan berbasikal itu akan diadakan di Stadium Tertutup Berakas di mana bagi kategori larian 21 kilometer dan ekspedisi berbasikal, laluan yang akan dilalui oleh para peserta adalah sepanjang Jalan Kebangsaan dan Kianggeh melepasi Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha sebelum tiba di pertengahan laluan di Lumapas dan berpusing balik ke Stadium Tertutup Berakas.

    Sementara itu, bagi larian 5km, para peserta akan mengelilingi kawasan stadium sahaja dan penyampaian hadiah bagi para pemenang akan diadakan di akhir larian.

    Larian itu diadakan bagi memeriahkan lagi acara Promosi PKS LiveWIRE Brunei ke-8 di mana seramai 120 usahawan tempatan menyertai pameran berkenaan yang akan mengetengahkan produk dan perkhidmatan tempatan termasuk pengusaha muda tempatan, agensi-agensi kerajaan serta syarikat-syarikat tempatan seperti Maju Motors, TCY Motors, NBT dan BIBD.

    Pengarah Program LiveWIRE Brunei, Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Abbas dipetik menyatakan bahawa Promosi PKS LiveWIRE Brunei ke-8 mencatatkan satu mercu tanda penting bagi acara yang mula diadakan pada 2006 yang hanya menyaksikan penyertaan daripada 15 buah perniagaan.

    Penyertaan dalam pameran dan promosi itu, bukan sahaja menyaksikan penyertaan daripada perusahaan muda dan inovatif tetapi juga usahawan-usahawan yang berpengalaman di mana menerusi penyertaan pelbagai usahawan itu, ia akan merangsang, menggalakkan serta menjana persekitaran yang kondusif untuk mempelajari, berkongsi ilmu pengetahuan, kemahiran teknikal dan peluang-peluang kerjasama serta persaingan sihat dalam kalangan para peserta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda