Sunday, April 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    200 anggota bomba bergelut padam kebakaran besar di Paris

    PARIS, 8 APRIL – Kebakaran besar berlaku di Paris kelmarin berhampiran kompleks mahkamah baharu yang direka oleh Renzo Piano, menyebabkan asap tebal menyelubungi seluruh bandar itu dan mendorong pihak berkuasa menggesa orang awam menjauhi kawasan itu.

    Kepulan asap hitam tebal boleh dilihat dari seluruh ibu kota Perancis ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api yang marak di salah sebuah pusat kitar semula terbesar di bandar itu.

    Menurut pihak bomba, kira-kira 60 buah jentera bomba dan 200 anggota telah diarahkan ke lokasi dan tiada mangsa korban dilaporkan.

    Api yang marak telah menerangi langit malam, manakala sebahagian daripada lebuh raya utama sekitar Paris ditutup bagi memberi laluan kepada jentera bomba untuk memasuki kawasan yang terbakar.

    “Bangunan itu musnah sepenuhnya,” kata ketua daerah ke-17, Geoffrey Boulard kepada stesen televisyen BFM.

    Kesemua kakitangan di dalam bangunan berjaya dipindahkan.

    Tambah Boulard, “Pasukan bomba tiba dengan pantas, tetapi kebakaran berlaku di bahagian bawah tanah sebelum merebak ke seluruh bangunan.”

    Kebakaran di loji kitar semula Syctom itu berlaku berhampiran kompleks mahkamah utama Paris, yang menampilkan bangunan pencakar langit kaca hasil rekaan arkitek Itali, Renzo Piano, dan dirasmikan pada 2018. – AFP

    Asap tebal menyelubungi langit Paris susulan kebakaran besar di sebuah loji kitar semula berhampiran Mahkamah Tribunal de Paris, pada 7 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda