PEKAN BARU, 7 Mei – Pihak berkuasa Indonesia berkata kira-kira 200 banduan yang melarikan diri beramai-ramai dari penjara yang penuh sesak di pulau Sumatera, dekat sini, masih bebas.
Insiden bolos dari penjara berlaku ketika banduan dibenarkan keluar untuk menunaikan solat di Penjara Sialang Bungkuk di Pekan Baru, ibu negeri wilayah Riau.
Ketua polis tempatan yang hanya dikenali sebagai Susanto berkata, seramai 242 banduan lelaki berjaya ditahan semula pada pagi ini sementara 200 lagi masih bebas.
Pihak berkuasa pada mulanya tidak pasti jumlah banduan yang melarikan diri dari penjara.
Polis berkata, sebahagian daripada mereka menyerah diri atau dikembalikan oleh ahli keluarga manakala yang lain ditahan semula oleh penduduk, polis dan tentera.

Para pegawai telah berkata para bantuan marah dengan keadaan layanan yang kurang memuaskan.
Penjara itu mempunyai kapasiti kira-kira 360 tetapi menurut jurucakap polis tempatan Guntur Aryo Tejo ia telah menampung lebih daripada 1,870 orang.
Tejo berkata empat daripada tahanan berjaya ditawan semula dan ditahan oleh pihak polis pada Jumaat kira-kira 100 kilometer (62 batu) dari penjara sebelum melarikan diri menggunakan bas menuju jiran wilayah Sumatera Barat.
Beratus-ratus polis dan tentera telah dikerahkan sejak Jumaat untuk memburu banduan.
Banduan melarikan diri merupakan satu perkara biasa yang berlaku di Indonesia di mana kesesakan telah menjadi satu masalah yang ketara dalam penjara.
Kejadian banduan melarikan diri secara beramai-ramai pada Jumaat adalah yang terbesar sejak Julai 2013 apabila kira-kira 240 banduan, termasuk beberapa pengganas yang disabitkan melarikan diri berikutan rusuhan maut di sebuah penjara di Medan, ibu kota wilayah Sumatera Utara. – AP