200 migran berjaya diselamatkan

LILLE, PERANCIS, 10 NOV – Lebih 200 migran berjaya diselamatkan ketika mereka cuba menyeberang terusan menggunakan bot buatan sen-diri menuju Britain, menurut pihak berkuasa Perancis lewat kelmarin.

Dalam tujuh operasi berasingan antara Isnin dan malam kelmarin, 210 migran, termasuk empat wanita dan seorang kanak-kanak, berjaya diselamatkan dan dibawa kembali ke pesisir utara Perancis selepas bot mereka mengalami kerosakan, menurut kenyataan.

Mereka dibawa kembali ke Calais, Dunkirk atau Boulogne dan dijaga oleh polis sempadan, anggota bomba dan perkhidmatan kecemasan maritim.

Peningkatan jumlah migran cuba menyeberang menuju Britain melalui laut sejak penghujung 2018, meski-pun pihak berkuasa memberi amaran mengenai bahaya arus kuat dan suhu yang rendah. Ketibaan musim sejuk tidak menghalang mereka dari mencuba menyeberang.

Khamis lalu, mayat seorang migran ditemui di sebuah bot yang dipenuhi air di pantai di Wissant, bersama dua lagi yang mengalami hipotermia.

Menurut ketua tentera laut yang mengawal terusan, Philippe Dutrieux, kira-kira 15,400 migran cuba menyeberang dalam tempoh lapan bulan pertama pada tahun ini, 3,500 daripadanya ‘dalam kesukaran’ sebelum dibawa pulang ke Perancis. – AFP