200 pelaku kebakaran hutan ditangkap

JAKARTA, 16 SEPT – Indonesia telah menangkap hampir 200 orang yang disyaki terlibat dalam kebakaran hutan di seluruh kepulauan, kata polis hari ini, ketika jerebu bertoksik itu meng-akibatkan paras kualiti udara semakin teruk dan mencetuskan pembatalan penerbangan.

Jakarta telah mengerahkan ribuan kakitangan untuk memadam kebakaran hutan di pulau-pulau Sumatera dan Borneo, dengan ratusan buah sekolah telah ditutup bimbang menjejaskan kesihatan. Hari ini, pihak berkuasa berkata mereka telah menangkap kira-kira 185 orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut yang membawa kepada kebakaran tidak terkawal melanda negara itu.

“Polis Indonesia akan menguatkuasakan undang-undang ke atas sesiapa yang telah dibuktikan melakukan pembakaran hutan dan tanah, sama ada ia dilakukan secara sengaja atau kecuaian sendiri,” kata jurucakap Polis Negara, Dedi Prasetyo kepada para wartawan di Jakarta.

“Ini adalah langkah terakhir. Paling penting adalah pencegahan.”

Empat syarikat juga turut disiasat, tambahnya. Jerebu tebal di Borneo – di mana tahap kualiti udara menjunam ke paras berbahaya di beberapa kawasan telah mengakibatkan pembatalan puluhan penerbangan kelmarin, kata syarikat penerbangan Garuda. – AFP