Wednesday, April 16, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 230 rakan industri pelancongan hadiri sambutan Hari Raya

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Lebih 230 rakan industri pelancongan dan juga rakan kongsi syarikat Sabre Travel Network (Brunei) Sdn Bhd dan Pelancongan Malaysia menghadiri Majlis Sambutan Pejabat Terbuka Hari Raya yang berlangsung di J-Hotel, Kiulap, hari ini.

    Majlis berkenaan turut dihadiri oleh diplomat asing, pemimpin industri dari syarikat penerbangan, pejabat pelancongan negara, agensi pelancongan, institusi kewangan, rakan korporat, dan wakil media.

    Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan; Duta Besar Luar Biasa dan Mutlak dari Kedutaan Diraja Thailand, Tuan Yang Terutama Boosara Kanchanalai dan Duta Besar Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu.

    Turut sama hadir Ketua Pegawai Eksekutif Royal Brunei Airlines dan Pengerusi Sabre Travel Network Brunei, Kapten Sabirin Hj Abdul Hamid dan ahli Lembaga Pengarah Sabre Brunei serta pemimpin dan pihak berkepentingan utama dari pelbagai sektor industri.

    Pengurus Besar Sabre Travel Network Brunei, Abd Halim Haji Abd Rahman berkata “Sabre Brunei merasa berbesar hati dapat bekerjasama dengan Pelancongan Malaysia dalam menganjurkan sambutan Pejabat Terbuka Hari Raya ini. Ia adalah satu kegembiraan yang besar dapat melihat semua pihak berkumpul di bawah satu bumbung untuk meraikan suasana yang penuh keceriaan dan sebagai tanda penghargaan kami.”

    Seterusnya, Pengarah Pelancongan Malaysia, Dayang Hazrina Azman, turut menambah, bahawa Majlis Hari Raya yang dianjurkan bersama berkenaan membolehkan Pelancongan Malaysia mengukuhkan hubungan dengan rakan pelancongan tempatan, rakan perniagaan dan wakil media. Ia juga menjadi peluang untuk menyampaikan penghargaan ke atas sokongan yang telah diberikan.

    Selain itu, beliau berkata bahawa majlis berkenaan menjadi platform untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026, yang mana pada tahun 2024, jumlah pelawat dari Brunei ke Malaysia telah meningkat sebanyak 55.2 peratus berbanding tahun 2023, menjadikan Brunei sebagai negara penyumbang pelancong kelima terbesar ke Malaysia.

    Semua di atas: Antara suasana semasa majlis sambutan berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda