Monday, December 23, 2024
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    200 sertai program anjuran Cureheart

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Dis – Kira-kira 200 peserta dan sukarelawan telah mengambil bahagian dalam program Curhat di Kampung Kitani, Reconnect with Nature, Reconnect with Yourself sempena Kempen Hari Bertindak 2024 yang diadakan di Sekolah Rendah Kasat, hari ini.
     
    Program anjuran Cureheart dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kampung Kasat, Sekolah Rendah Kasat, Jabatan Penjara, dan Pusat Pembangunan Belia ini adalah bagi meraikan Hari Sukarelawan Antarabangsa dan menekankan kepentingan khidmat masyarakat.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan program berkenaan ialah, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin yang juga Penghulu Mukim Lumapas. 
     
    Pengasas Cureheart, Hajah Norajleen Uminatul Hafizah binti Haji Alimas dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan, program ini mencerminkan komitmen holistik untuk memelihara persekitaran semula jadi dan mental kesejahteraan masyarakat. 
     
    “Usaha ini memberikan tumpuan kepada memperkasakan individu khususnya mereka yang sedang dalam proses penyepaduan semula, dengan peluang untuk pulih, berkembang dan maju,” katanya. 
    Hajah Norajleen Uminatul Hafizah menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Sempena Kempen Hari Bertindak, acara Curhat di Kampung Kitani melibatkan para peserta untuk menyumbang kepada aktiviti masyarakat dengan mengagihkan sumbangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan dan menyertai kempen kebersihan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara peserta yang hadir semasa program berkenaan.– GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Awang Amran hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Selaras dengan aktiviti penanaman pokok, landskap, terapi seni dan sesi pengakuan penyembuhan, ia bukan sekadar tindakan, tetapi satu langkah ke arah membina daya tahan, mewujudkan hubungan yang berkekalan dan membina masa depan yang lebih hijau.
     
    Beliau turut menekankan, “Marilah kita mengingati kekuatan dan semangat luar biasa para peserta, terutamanya mereka yang sedang diuji dan mengambil peluang ini untuk membina semula keyakinan diri dan menyumbang semula secara positif kepada masyarakat.
     
    “Perjalanan penyepaduan semula awda bukan sekadar kisah peribadi inspirasi untuk kita semua,” tegasnya.
     
    Matlamatnya juga adalah untuk memupuk kesejahteraan mental, penjagaan alam sekitar, dan pertumbuhan peribadi melalui aktiviti yang menarik dan bermakna.
     
    Program ini merangkumi aktiviti penanaman pokok dan landskap untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar, sesi Terapi Seni-Eko untuk menggalakkan ekspresi diri secara kreatif, serta perbincangan penyembuhan Curhat bagi menyokong ketahanan emosi.
     
    Para peserta juga menyumbang kepada aktiviti masyarakat dengan mengagihkan sumbangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan dan menyertai kempen kebersihan. 
     
    Inisiatif itu memberikan peluang kepada bekas banduan, komuniti tempatan dan sukarelawan untuk berhubung dan bekerjasama, menekankan keterangkuman, belas kasihandan pertumbuhan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda