Saturday, January 11, 2025
30.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    2,000 penduduk bakal dapat manfaat projek Jalan URDA

    KAPIT, 10 JAN – Lebih 2,000 penduduk di Perkampungan Baleh, Nanga Benin, Nanga Pelagus, dan Pelagus Resort bakal menerima manfaat apabila projek jalan baharu di kawasan tersebut siap pada April 2027.

    Projek pembinaan jalan sepanjang tujuh kilometer membabitkan dua buah jambatan itu menelan belanja kira-kira RM70 juta yang ditender semula untuk dilaksanakan oleh kontraktor penyiap setelah kontraktor asal telah ditamatkan kontraknya.

    Majlis pecah tanah Projek Jalan Baharu Jambatan Baleh/ Rh. Belaja, Ng Benin/ SK. Ng. Pelagus/ Pelagus Resort di bawah Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) – Fasa 1, Seksyen 1 telah diadakan pada hari ini.

    “Meskipun jarak pembinaan jalan bagi projek ini agak pendek, ia memerlukan peruntukan yang besar dan tempoh masa selama tiga tahun kerana bentuk permukaan muka bumi di kawasan berkenaan agak mencabar,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan.

    Apabila siap kelak, projek itu akan menyempurnakan beberapa lagi projek lain yang turut dijalankan di kawasan sekitar termasuk oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

    Ini katanya akan memudahkan rakyat yang ketika ini terpaksa menggunakan laluan balak kerana perkampungan di kawasan itu yang agak terpencil.

    Beliau menasihati kontraktor yang dilantik supaya menyiapkan projek dengan sempurna dalam tempoh ditetapkan dan mengelak daripada untuk membuat extension of time (EoT) sekali gus membantu menjimatkan kewangan kerajaan.

    Nanta yakin apabila beberapa projek di kawasan sekitar berjaya disiapkan dalam tempoh dua atau tiga tahun ini, ia akan memberi sumbangan besar kepada penduduk Kapit hinggalah ke Belaga. – Bernama

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) bersama Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika sidang media Majlis Penyerahan Projek Keselamatan Makanan Negara di Bandar Baru Salak Tinggi baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda