Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    20,000 CCTV diperlukan bagi pemantauan jenayah, lalu lintas di KL

    KUALA LUMPUR, 15 JULAI – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memerlukan sekurang-kurangnya 20,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di seluruh Kuala Lumpur untuk memantau kadar jenayah dan masalah kesesakan jalan raya.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata buat masa ini, terdapat 5,000 unit CCTV yang dipasang di seluruh bandar raya ini bagi pemantauan jenayah dan kesesakan lalu lintas.

    Bagaimanapun, beliau berkata pemasangan CCTV itu tidak boleh dilaksanakan secara silo (sendirian) oleh DBKL, sebaliknya memerlukan kerjasama kementerian, jabatan dan agensi khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Untuk itu, DBKL diberikan tanggungjawab mencari peruntukan memasang, memantau dan melakukan pemantauan. Ini penting pada hemat kami bahawa DBKL dengan kerjasama jabatan dan agensi ini memerlukan sekurang-kurangnya 20,000 unit CCTV, ertinya dalam tempoh sekarang hingga RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13) usaha ini mesti dilakukan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bilangan 2 Tahun 2024 hari ini.

    Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh. – Bernama

    Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media di Kuala Lumpur Command Control Centre. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda