MANILA, 30 OGOS – Taufan Saola telah menyebabkan kejadian banjir dan tanah susur di beberapa wilayah di Filipina, menjejaskan kira-kira 200,000 orang, menurut kenyataan kerajaan hari ini.
Majlis Pengurangan Risiko Bencana dan Pengurusan Kebangsaan berkata sekurang-kurangnya seorang dilaporkan hilang. Tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Agensi pengurusan bencana berkata Saola membanjiri 193 buah kawasan dan mencetuskan 12 kejadian tanah susur di pulau utama Luzon dan bahagian tengah Filipina.
Lebih 35,000 orang penduduk masih ditempatkan di perlindungan sementara.
Saola bertambah kuat menjadi taufan super pada subuh Ahad, menurunkan hujan lebat dan angin kencang di utara Filipina.
Biro Cuaca Negeri Filipina berkata Saola mengekalkan kekuatannya hari ini ketika ia bergerak ke barat-barat laut pada kelajuan 15 kilometer sejam (kmsj) di wilayah paling utara Batanes, membawa angin berkelajuan 195kmsj dan tiupan angin selaju 240kmsj.
Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina berkata Saola akan terus membawa hujan lebat, terutama di kawasan pergunungan, yang boleh mencetuskan lebih banyak kejadian banjir dan tanah susur.
Saola adalah taufan ketujuh yang membadai Filipina tahun ini, dan berkemungkinan besar akan terus menjadi taufan super sehingga Jumaat, menurut agensi. Selain itu ribut tropika Haikui juga menghampiri Filipina, mengancam kawasan-kawasan di utara Luzon. – Xinhua
