Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    2017 terbaik buat Real

    MADRID, 25 Dis – Presiden Real Madrid, Florentino Perez (gambar) menjelaskan peminat kelab berkenaan perlu berbangga dengan pencapaian mereka sepanjang tahun 2017, walaupun tewas 3-0 pada pertemuan El Clasico dengan Barcelona, semalam.

    Malah, kekalahan itu turut menyebabkan juara Eropah itu ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu itu dalam perebutan kejuaraan La Liga.

    Kelab gergasi Sepanyol itu bagaimanapun sudah melengkapkan dua gelaran Liga Juara-Juara dan La Liga musim lalu sebelum menambah trofi Piala Kelab Dunia dan Eropah serta Piala Super Sepanyol.

    “Tahun 2017 adalah tahun yang tidak boleh dilupakan penyokong Real Madrid,” kata Perez dalam ucapan sambutan Hari Krismas kepada penyokong, sehari selepas kekalahan kepada Barca.

    “Daripada aspek kejuaraan, ia menjadi yang terbaik dalam tempoh 115 tahun sejarah kami, dan untuk semua penyokong kami, 2017 adalah tahun yang hebat.

    “Kami bangga dengan pasukan kami dan jurulatih kami, Zinedine Zidane. Mereka adalah sebahagian daripada legenda dan mitos di Real Madrid.”

    Kedudukan Zidane berada dalam bahaya sejak beberapa minggu kebelakangan ini, selepas permulaan kurang memberangsangkan Real Madrid dalam kempen liga domestik dan kekalahan di Liga Juara-Juara kepada Tottenham Hotspur, selain perlu berdepan kelab gergasi Perancis Paris Saint-Germain pada pusingan 16 terakhir, Februari ini.

    “Kesimpulannya, 2017 sangat positif. Kami perlu meneruskan langkah ini bagi tahun 2018,” kata Zidane yang memburu mahkota kejuaraan Eropah kali ketiga berturut-turut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda