Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    2018/19 musim EPL paling sengit

    LONDON, 10 Mei – Kejuaraan Eropah musim ini dikuasai sepenuhnya oleh pasukan Liga Perdana Inggeris, di mana dalam tempoh seminggu penuh drama dengan Liverpool dan Tottenham Hotspur bertemu pada final Liga Juara-Juara bulan depan.

    Perebutan Liga Europa pula, menyaksikan saingan antara Chelsea dan Arsenal sekali gus memastikan kejayaan kelab Inggeris bukan hanya terhad kepada pertandingan domestik sahaja namun memberikan Liga Perdana catatan mengagumkan empat finalis di kejuaraan Eropah.

    Hanya dua kali sebelum ini dalam bola sepak Eropah, Piala UEFA 1972 dan Liga Juara-Juara 2008 mempertemukan dua pasukan Inggeris di final, namun dua kebangkitan luar biasa Liverpool dan Spurs memastikan pertembungan sedemikian di Madrid pada 1 Jun ini.

    Liverpool, naib juara tahun lalu selepas tewas kepada Real Madrid, menamatkan dominasi lima tahun kelab dari Sepanyol dengan mempamerkan kebangkitan luar biasa dengan kemenangan 4-0 di Anfield, malah menjadi pencetus kebangkitan Tottenham yang berjuang hebat 24 jam kemudian.

    Memiliki rekod perjanjian siaran langsung yang menjana pendapatan berbilion dari seluruh dunia, kelab Inggeris gagal menyinar malah sering ditewaskan di saingan Liga Juara-Juara dalam tempoh sedekad lalu.

    Begitupun, ketika Barcelona, Juventus dan Bayern Munich mendominasi liga domestik dalam beberapa tahun kebelakangan ini, lebih menarik tiada kelab EPL yang mampu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana sejak 2013 yang sering bertukar tangan.

    Bermula dengan City yang memenangi musim 2013/14, kemudian dirampas oleh Chelsea pada musim 2014/15, diikuti kejutan terbesar dilakukan Leicester City (2015/16) dan Chelsea sekali lagi melakukannya (2016/17) namun kehadiran Pep Guardiola memastikan City memenangi kejuaraan musim lalu.

    Namun musim ini, kejuaraan Liga Perdana ditentukan pada perlawanan terakhir yang menyaksikan perebutan mengagumkan antara City dan Liverpool.

    Persaingan konsisten dalam kalangan enam pasukan teratas EPL setiap musim bagi merebut empat tiket ke Liga Juara-Juara menyebabkan tiada pasukan boleh bersenang-lenang, dalam dan luar padang serta proses merekrut pemain. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda