Wednesday, May 8, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    2022 labuh tirai dengan peristiwa penting

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Pelbagai detik penting dan bersejarah telah berlaku di sepanjang tahun 2022 termasuklah pada dua bulan terakhir yang lepas.

    Sorotan peristiwa bulan November

    Pada awal bulan November lalu, Negara Brunei Darussalam menerusi Kementerian Kesihatan terus memperkukuh kedayatahanan ekosistem penjagaan kesihatan negara dengan merasmikan MOH Intelligence Hub bersama dengan EVYD Technology di Kampus EVYD, Jerudong.

    Hab tersebut menempatkan Epidemic Intelligence and Response Unit (Bahagian Kawalan Penyakit) yang berfungsi sebagai pusat surveillance untuk memantau penularan penyakit di serata negara, Climate Change Adaptation and Resilience Unit serta Unit Kesihatan Digital.

    Syiling memperingati penamaan rasmi Jambatan SHOAS diperkenalkan

    Pada 4 November 2022, bersempena memperingati penamaan rasmi Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS), Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah mengeluarkan duit syiling kenang-kenangan berbentuk emas, perak dan kupronikel, yang sah diperlakukan di Negara Brunei Darussalam.

    Empat jenis produk duit syiling kenang-kenangan itu ialah Duit Syiling Emas Edisi Khas 1; Duit Syiling Emas Edisi Khas 2; Duit Syiling Perak; dan Duit Syiling Kupronikel.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa berkenan berangkat turun padang membuat lawatan ke JIPK. – Gambar fail
    Bersempena memperingati penamaan rasmi Jambatan SHOAS, BDCB telah mengeluarkan empat duit syiling kenang-kenangan berbentuk emas, perak dan kupronikel. – Gambar fail
    PPB melakar sejarah setelah menghasilkan Sushi Roll dan Swiss Roll terpanjang di Negara Brunei Darussalam. – Gambar fail
    Antara pengunjung yang datang pada hari Pembukaan Semula BKISHHB. – Gambar fail
    Pada 1 Disember 2022, Ekspo Produk Tempatan 2022, sempena BDF ke-6, di Dewan Bridex 1 dan 2, Jerudong. – Gambar fail
    Pasukan DPMM FC apabila berjaya menjulang Piala FA Brunei 2022 setelah menewaskan pasukan Kasuka SC semasa perlawanan akhir Piala FA Brunei 2022. – Gambar fail

    Berkenan berangkat ke JIPK

    Keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap keluhan dan sungutan orang ramai telah menyebabkan Baginda berkenan berangkat turun padang membuat lawatan ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), pada 5 November lalu.

    Semasa keberangkatan itu, Baginda bertitah menekankan JIPK adalah sebuah jabatan yang menjadi tumpuan ramai bagi membuat urusan-urusan tertentu. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, banyak masalah berlaku terutama sungutan mengenai kelambatan memproses permohonan orang ramai. Ini menyangkut kelemahan pengurusan atau ketiadaan pegawai khusus yang bertanggungjawab untuk memantau dan memberikan keputusan atau boleh berlaku kerana dasar yang sedia ada tidak dikemas kini.

    Atlet negara sertai Sukan SEA Deaf

    Pada bulan November juga, buat julung kalinya Negara Brunei Darussalam menyertai dan menghantar enam orang atlet kurang pendengaran negara yang diiringi tujuh orang pegawai bagi menyertai Sukan SEA Deaf 2022 dalam acara olahraga dan boling sepuluh pin yang berlangsung dari 21 hingga 27 November di sekitar Kuala Lumpur, Malaysia.

    Sukan SEA Deaf 2022 yang berlangsung di Kuala Lumpur Malaysia pada 20 hingga 27 November tersebut merupakan edisi pertama temasya sukan yang dikhaskan untuk warga orang kurang pendengaran di rantau ASEAN yang mempertandingkan empat acara termasuklah futsal, olahraga, boling sepuluh pin dan badminton.

    Sorotan peristiwa bulan Disember

    Bulan Disember 2022 turut mencatatkan beberapa detik bersejarah, di mana pada 1 Disember 2022, Ekspo Produk Tempatan 2022, sempena Festival Disember Brunei (BDF) ke-6, telah diadakan di Dewan BRIDEX 1 dan 2, Jerudong.

    Ekspo berkenaan menyediakan platform bagi pengusaha-pengusaha tempatan mempromosikan dan meluaskan lagi pasaran produk secara langsung kepada pembeli. Selain itu, ia juga mengetengahkan dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk atau barangan yang dihasilkan oleh pengusaha-pengusaha tempatan serta memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk menjana pendapatan.

    DPMM FC julang Piala FA 2022

    Tarikh 4 Disember 2022 pula merupakan salah satu tarikh yang cukup membanggakan buat pasukan DPMM FC apabila berjaya menjulang Piala FA Brunei 2022 setelah menewaskan pasukan Kasuka SC semasa perlawanan akhir yang berlangsung di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    DPMM FC telah muncul juara selepas menewaskan Kasuka SC 2-1 dalam aksi final, sekali gus menutup tirai pertandingan bola sepak tempatan. Keputusan tersebut memberikan titik penamat kepada penantian negara dalam persaingan bola sepak domestik sejak permulaan pandemik COVID pada Mac 2020.

    Pasukan yang berpangkalan di Jerudong itu juga mengesahkan kedudukan mereka sebagai wakil negara dalam sesi kelayakan semasa perlawanan playoff Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) 2023-2024 musim depan.

    Majlis selawat pembukaan semula BKISHHB

    Pada 12 Disember lalu, majlis berselawat telah diadakan bagi menandakan pembukaan semula Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), di Jalan Pengiran Babu Raja.

    Majlis dimulakan dengan Selawat dan Dikir Syarafil Anam oleh pelajar-pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) di Galeri Rambut Mulia Rasulullah SAW dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran di ITQSHHB, Awang Ahmad ZulWaqar bin Haji Suhaili.

    BKISHHB merupakan manifestasi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk memelihara khazanah cendekiawan Islam dengan menggiatkan pengembangannya melalui aktiviti pengumpulan, pemeliharaan, pengkajian, pameran, penyebaran, penyelidikan serta mengongsikan natijahnya bagi kemajuan Islam dan umat seumumnya serta menjadikannya one stop Islamic tourism destination.

    PPB lakar sejarah

    Manakala pada 13 Disember, Pusat Pembangunan Belia (PPB) melakar sejarah setelah menghasilkan Sushi Roll dan Swiss Roll terpanjang di negara ini dan menerima Sijil Pengiktirafan The Brunei Book of Records pada Majlis Pelancaran Karnival PPB.

    Penghasilan Sushi Roll dan Swiss Roll yang mengambil masa selama enam jam untuk disiapkan itu, merupakan hasil kerja keras para pelatih Diploma Tahap 2 dalam Penyediaan Makanan dan Seni Kulinari dan pelatih Diploma Tahap 2 dalam Penyediaan Makanan dan Seni Kulinari Pastri.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Empat kapal China didakwa masuk perairan larangan

    TAIPEI, 7 MEI - Taipei menggesa Beijing menghentikan tindakan yang membahayakan keselamatan susulan empat kapal pengawal pantai China belayar melalui perairan ‘terlarang’ Taiwan. China yang...