NEW YORK, 29 DIS – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres kelmarin menyeru semua negara mengutamakan keamanan dalam setiap ucapan dan tindakan mereka.
“Pada 2023, mari kita mengutamakan keamanan dalam setiap ucapan dan tindakan kerana kita memerlukan keamanan lebih daripada sebelumnya.
“Menjalin hubungan baik antara satu sama lain, melalui sesi dialog untuk menamatkan konflik. Menjaga alam semula jadi dan iklim demi membina dunia yang lebih mampan.
“Keamanan juga diperlukan di dalam keluarga dan rumah, supaya wanita dan kanak-kanak perempuan dapat hidup dalam keadaan bermaruah dan selamat,” Xinhua memetik ketua PBB sebagai berkata dalam mesej video Tahun Baharunya.
Guterres juga menegaskan bahawa keamanan dalam talian juga penting tanpa dicemari maklumat palsu dan teori konspirasi, agar semua masyarakat dapat menikmati internet yang bebas daripada ucapan kebencian dan penyalahgunaan.
“Dari Ukraine ke Afghanistan hingga ke Republik Demokratik Congo dan seterusnya, orang ramai meninggalkan kediaman dan kehidupan mereka untuk mencari sesuatu yang lebih baik.
“Ini bermakna lebih 100 juta orang melarikan diri dari keganasan, kebakaran hutan, kemarau, kemiskinan dan kelaparan.
“Bersama-sama, mari kita jadikan 2023 sebagai tahun yang menyaksikan keamanan dipulihkan dalam kehidupan kita, rumah kita, dan dunia,” kata setiausaha agung itu. – Bernama
