BEIJING, 2 JAN – Tahun lepas merupakan rekod paling panas di China, kata agensi cuaca negara berkenaan, ketika dunia mengalami lonjakan cuaca ekstrem yang didorong oleh perubahan iklim.
China adalah pemancar utama gas rumah hijau yang memacu pemanasan global menurut saintis meskipun Beijing berjanji bahawa pelepasan karbon dioksida akan memuncak pada 2030 dan turun ke sifar pad 2060.
“Pada tahun 2024 yang berakhir baru-baru ini, purata suhu negara ialah 10.92 darjah Celsius, 1.03 darjah lebih tinggi daripada purata dan tahun paling panas sejak permulaan rekod pada 1961,” kata Pentadbiran Meteorologi China di laman beritanya kelmarin.
“Empat catatan tahun paling panas ialah empat tahun yang lalu, dengan kesemua sepuluh tahun paling panas sejak 1961 berlaku pada abad ke-21,” kata pejabat cuaca.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut berkata dalam mesej akhir tahun Isnin lalu bahawa 2024 ditetapkan sebagai tahun paling panas pernah direkodkan di seluruh dunia.
Mengenai banjir, di China juga, berpuluh-puluh orang terbunuh dan beribu-ribu dipindahkan semasa banjir di seluruh negara tahun lepas.
2024 juga menyaksikan banjir yang paling bahaya di Sepanyol dan Kenya, ribut ganas berganda di Amerika Syarikat dan Filipina dan kemarau teruk serta kebakaran hutan di seluruh Amerika Selatan.
Bencana-bencana alam menyebabkan kerugian ekonomi sebanyak AS$310 bilion pada 2024, menurut laporan syarikat gergasi insurans yang berpangkalan di Zurich. – AFP