PARIS, 9 DIS – Pemantau iklim Eropah berkata hari ini 2024 dikenal pasti sebagai tahun yang paling panas pernah direkodkan dan buat pertama kali melebihi ambang kritikal untuk melindungi bumi daripada panas ekstrem.
Penanda aras baharu yang disahkan oleh Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S) mengakhiri masa setahun di mana negara kaya dan miskin terjejas oleh bencana yang saintis kaitkan dengan peranan manusia dalam pemanasan pantas bumi.
Copernicus berkata haba luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini telah menyebabkan purata suhu global berada di paras amat tinggi antara Januari dan November dan ia pasti akan melepasi rekod 2023 sebagai tahun yang paling panas.
“Pada ketika ini, sudah pasti 2024 akan menjadi tahun paling panas dalam rekod,” kata agensi Kesatuan Eropah itu dalam buletin bulanannya.
Dalam satu lagi peristiwa penting, 2024 akan menjadi tahun kalendar pertama yang lebih panas pada kadar 1.5 darjah Celsius (C) berbanding zaman pra-industri sebelum manusia mula membakar sejumlah besar bahan api fosil.
Para saintis memberi amaran jika melebihi 1.5 Celsius dalam tempoh beberapa dekad, ia menjejaskan planet ini, dan dunia bersetuju di bawah perjanjian iklim Paris untuk berusaha mengehadkan pemanasan kepada nilai ambang yang lebih selamat.
Timbalan Pengarah C3S, Samantha Burgess berkata setahun melebihi 1.5 Celsius tidak bermakna Perjanjian Paris telah dilanggar, tetapi ia bermakna tindakan iklim yang bercita-cita tinggi adalah lebih mendesak berbanding sebelum ini. – AFP