TOKYO, 6 JAN – Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengesahkan bahawa 2024 adalah tahun paling panas dalam sejarah negara itu sejak data mula direkodkan, mencerminkan trend global akibat pelepasan gas rumah hijau yang terus meningkat.
Di seluruh dunia, tahun 2024 dijangka menjadi tahun terpanas yang pernah direkodkan, menurut agensi cuaca dan iklim Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu minggu lalu, menutup dekad dengan suhu yang belum pernah berlaku sebelum ini dan pelbagai jenis cuaca ekstrem.
Organisasi Meteorologi Dunia (WMO) minggu lalu turut menyatakan bahawa 2024 dijangka menjadi tahun paling panas di peringkat global, melengkapkan satu dekad fenomena haba ekstrem dan cuaca melampau yang belum pernah berlaku.
Di Jepun, purata suhu sepanjang tahun 2024 adalah 1.48 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata 1991 hingga 2020, menurut JMA.
Catatan itu adalah yang tertinggi sejak JMA mula merekodkan data pada 1898, dan mengatasi rekod tahun sebelumnya yang melebihi purata sebanyak 1.29 darjah Celsius.
Dalam jangka masa panjang, suhu di Jepun telah meningkat pada kadar 1.40 darjah Celsius setiap abad, dengan peningkatan mendadak dicatatkan sejak 1990an, jelas JMA.
Kaoru Takahashi, pegawai JMA, berkata kepada AFP bahawa perubahan iklim adalah salah satu ‘faktor utama’.
Selain itu, angin barat yang biasanya bergerak dari barat ke timur telah bergerak lebih jauh ke utara, membawa udara yang lebih panas, tambah Takahashi.
Tahun lalu musim panas di Jepun sudah pun diisytiharkan sebagai yang paling panas dalam sejarah, setara dengan rekod pada 2023, manakala musim luruh adalah yang paling panas sejak rekod bermula.
Fenomena lain termasuk ketiadaan salji di puncak Gunung Fuji untuk tempoh paling lama pada 2024, yang mana salji hanya muncul pada awal November, berbanding purata awal Oktober. – AFP