Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    2024 tanda pencapaian penting hubungan Malaysia-China

    KUALA LUMPUR, 31 DIS – Tahun 2024 akan menandakan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia serta China, yang merupakan satu peristiwa penting, kata Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM).

    Presiden ACCCIM, Tan Sri Senator Lu Cheng Chuan berkata, ‘hubungan Malaysia-China sedang berada pada tahap terbaik dalam sejarah’.

    “Khususnya, pelaksanaan langkah pengecualian visa bersama antara kedua-dua negara telah memudahkan pertukaran dan pergerakan antara kedua-dua negara.

    “Ini akan memperdalamkan lagi pertukaran antara Malaysia dan China, selain terus meningkatkan perkongsian strategik komprehensif kepada komuniti dengan masa depan yang dikongsi bersama,” katanya dalam perutusan Tahun Barunya, hari ini.

    Beliau berharap kerajaan akan terus membangunkan Malaysia yang lebih baik serta membina ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya saing di bawah rangka kerja ‘naratif ekonomi yang makmur’.

    Ini termasuk Pelan Hala Tuju Transformasi Tenaga Negara (NETR) untuk mencapai masa depan rendah karbon dan Pelan Tindakan Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menggalakkan transformasi perindustrian generasi baharu dalam era perindustrian hijau.

    Beliau berkata, di hadapan cabaran serta peluang bagi rakyat Malaysia termasuk komuniti perniagaan, perniagaan perlu terus meneroka peluang pembangunan terkini dalam bidang inovasi dan membina dorongan baharu untuk pusingan seterusnya ekonomi Malaysia.
    – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda