Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    208 pelajar Sekolah Arab dan Ugama dirai

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Seramai 208 orang pelajar sekolah Arab dan Ugama telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan-pertandingan bagi Pelajar-pelajar Sekolah Arab dan Ugama anjuran Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam bagi Tahun 1447H / 2025M yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.

    Majlis berkenaan diadakan ke arah mendukung Matlamat Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, selain sebagai penghargaan atas pencapaian cemerlang para pelajar dalam pelbagai pertandingan kokurikulum anjuran Jabatan Pengajian Islam sepanjang tahun ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd Salam, dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang yang diraikan.

    Gambar atas & bawah, salah seorang pelajaryang diraikan menerima hadiah dari tetamu kehormat majlis. – GAMBRA SERAHAN JPI, KHEU

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil.

    Kemudian diteruskan dengan tayangan video, persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh dua orang pemenang, serta persembahan daripada pemenang Masrahiyyah Arabiyyah.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Awang Haji Azmi bin Haji Jali.

    Gambar-gambar suasana sekitar majlis berkenaan.

    GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JPI, KHEU

    Pertandingan kokurikulum bagi persekolahan Arab yang dikendalikan oleh Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam pada tahun ini termasuk Tilawah Al-Quran Kategori Alif (Tarannum) Kali Ke-59; Tilawah Al-Quran Kategori Ba (Tarannum) Kali Ke-59; Tilawah Al-Quran Kategori Jim (Tarannum) Kali Pertama; Dikir Syarafil Anam Kali Ke-2; Masrahiyyah Arabiyyah Kali Ke-11; dan Debat Dalam Bahasa Arab Kali Ke-5.

    Sementara itu, bagi persekolahan Ugama, pertandingan yang dianjurkan termasuk Pertandingan Membaca Al-Quran Kategori Alif (Tarannum); Membaca Al-Quran Kategori Ba (Murattal) Secara Berkumpulan; Hafazan Surah Al-Mulk; Syarahan Tafsir Al-Quran; dan Dikir Syarafil Anam Berkumpulan. Turut diadakan Peraduan Membaca Ayat-Ayat Lazim khusus bagi murid-murid berkeperluan khas di sekolah-sekolah Ugama.

    Acara tahunan anjuran Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam ini, antara lain bertujuan menzahirkan penghargaan dan memberi galakan kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum, ke arah membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing, selaras dengan matlamat pendidikan Ugama di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda