Tuesday, March 11, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    21 anak yatim terima sumbangan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Seramai 21 anak-anak yatim terdiri daripada ahli keluarga warga Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) petang tadi menerima sumbangan derma pada Majlis Bertadarus dan Penyampaian Derma Anak-anak Yatim bagi warga Hospital RIPAS sempena bulan Ramadan 1446 Hijrah /2025 Masihi bertempat di Surau Nuurul ‘Inayah Hospital RIPAS.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Asar berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat.

    Seterusnya, tadarus Al-Quran (Juzuk 10), bacaan Tahlil serta Doa Arwah dan juga bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Pegawai Pelajaran, Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital RIPAS, Awang Ahmad Syuja’ie bin Begawan Mudim Haji Metassim.

    Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan yang diadakan secara bergilir di keempat-empat daerah. la bertujuan untuk menyemarakkan lagi keberkatan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan bacaan Al-Quran serta menghayati maknanya.

    Selain meningkatkan amalan ibadah, majlis ini juga berperanan mengukuhkan ukhuwah Islamiah dan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Kementerian Kesihatan serta warga Hospital RIPAS.

    Di samping itu, bertadarus juga memberikan peluang kepada para peserta untuk mendalami ilmu tajwid, memperbaiki bacaan Al-Quran, serta menanamkan nilai-nilai kesabaran dan kesatuan dalam kalangan kakitangan.

    Aktiviti tersebut bukan sahaja menjadi wadah untuk menyuburkan kecintaan terhadap Al-Quran, malahan ia juga mencerminkan semangat kebersamaan dalam mengamalkan ajaran Islam sebagai panduan kehidupan seharian.

    Turut hadir, Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; ketua-ketua jabatan, berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di hospital berkenaan.

    ATAS & BAWAH : Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan sumbangan kepada anak yatim pada majlis yang diadakan di Surau Nuurul ‘Inayah Hospital RIPAS. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda