Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    21 atlet veteran sahut cabaran MIOMAC

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Seramai 21 orang Atlet Veteran Negara Brunei Darussalam (NBD) berlepas ke Kuching, Sarawak bagi menyertai Kejohanan Olahraga Masters Antarabangsa Terbuka Malaysia (MIOMAC) Ke-31, hari ini.

    Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula 22 hingga 23 Julai di Stadium Sarawak, Petra Jaya itu menawarkan sebanyak 700 pingat untuk dimenangi.

    Rombongan negara diketuai oleh setiausaha agong Atlet Veteran NBD, Hajah Mariah binti Haji Metussin, manakala pengurus pasukan ialah Haji Abu Bakar bin Haji Pungut yang juga selaku setiausaha II Atlet Veteran NBD.

    Antara acara-acara padang yang akan disertai oleh para atlet negara adalah 100m, 200m, 400m, 800m, 1500m, 5000m (Jalan Kaki), Lompat Jauh, Lompat Kijang, Lompat Tinggi, Buang Peluru, Lempar Piring, Lontar Lembing dan Larian 100m berhalangan.

    Sebahagian atlet veteran negara yang akan bersaing di MIOMAC Ke-31, di Kuching, Sarawak.
    Sebahagian atlet veteran negara yang akan bersaing di MIOMAC Ke-31, di Kuching, Sarawak.

    Kejohanan tersebut juga akan disertai oleh beberapa buah negara seperti Singapura, Uzbekistan, Sri Lanka, Nepal, Indonesia, Hong Kong di samping kontinjen dari Semenanjung Malaysia selain Sabah dan Sarawak.

    Atlet Veteran NBD sebelum ini juga menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Sabah Masters Ketujuh yang diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada bulan Mei lalu.

    Dalam kejohanan tersebut, kontinjen negara beraksi cemerlang dengan mendapat tempat kedua setelah berjaya menewaskan 29 kontinjen lain dari Singapura, Indonesia serta beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

    Kontinjen negara di kejohanan tersebut juga telah berjaya membawa pulang 27 pingat emas, 14 perak dan lapan gangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda