PINGYUAN, CHINA, 6 OGOS – Gempa bumi cetek berukuran 5.4 magnitud melanda timur China pada awal pagi tadi, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), dengan media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 21 orang cedera dengan ratusan bangunan runtuh.
USGS berkata, gempa yang berlaku pada jam 2:33 pagi (waktu tempatan, semalam) melanda 26 kilometer (km) dari bandar Dezhou di wilayah Shandong, pada kedalaman 10km.
Global Times melaporkan, ia adalah gempa yang paling kuat melanda wilayah itu dalam lebih sedekad.
Gempa itu turut dirasai sehingga sejauh Beijing dan Tianjin, serta di Shanghai, kira-kira 800km dari pusat gempa berkenaan.
Video di media sosial menunjukkan lampu bergoncang, tanah bergegar dan orang ramai mengosongkan bangunan mereka malah terdapat satu klip menunjukkan orang ramai berjalan melepasi batu-bata yang bertaburan di atas tanah.
“Gegaran itu sangat kuat, semasa gempa bumi, kepala saya menggeletar di atas bantal, saya fikir saya mengalami mimpi ngeri,” kata seorang pengguna media sosial Weibo dari wilayah Hebei yang berdekatan dengan Shandong.
Sistem PAGER USGS, yang menyediakan penilaian awal tentang impak gempa bumi, mengeluarkan amaran merah, menganggarkan kerosakan yang besar dan berkemungkinan beberapa kematian berdasarkan data gempa sebelumnya.
Pihak berkuasa Shandong yang dipetik melalui penyiar negeri CCTV berkata, terdapat sekurang-kurangnya 21 orang cedera dan 126 rumah atau bangunan lain ‘runtuh’ akibat gempa bumi dan turut diikuti oleh 52 gegaran susulan. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P11-A-AFP_07082023.jpg)