Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    21 graduan LCB cemerlang diraikan

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Seramai 21 graduan cemerlang yang menerima kepujian kelas pertama bagi program University of Chester dan University of Essex bagi 2024 telah diraikan oleh Laksamana College of Business (LCB) dalam Majlis Penyampaian Anugerah Insentif yang berlangsung di Laksamana College of Business, hari ini.

    Pencapaian itu menandakan satu mercu tanda yang penting di mana ia merupakan jumlah penerima kepujian kelas pertama yang tertinggi dalam satu kumpulan sejak LCB melancarkan program ijazahnya pada 2017.

    Sehingga hari ini, LCB telah menghasilkan seramai 111 graduan dengan Kepujian Kelas Pertama.

    Bagi meraikan para graduan cemerlang berkenaan, LCB mengadakan Majlis Anugerah Insentif yang dihadiri oleh jemputan-jemputan khas iaitu Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Alexandra McKenzie; Pengarah LCB, Haji Suhaimei bin Haji Awang Besar; Ketua Pegawai Operasi dan Timbalan Pengetua LCB, Dr Sivarajah Subramaniam; Pengarah Operasi dan Pengajian Akademik LCB, Bogusia Mischke; Pegawai Kepatuhan dan Jaminan Kualiti LCB, Gloria A. Antiwiwaa; serta kakitangan LCB.

    Pada majlis berkenaan, anugerah telah disampaikan kepada para graduan cemerlang yang diraikan oleh Haji Suhaimei dengan disaksikan oleh PYT Alexandra McKenzie. Setiap graduan kepujian kelas pertama menerima anugerah monetari sebagai pengiktirafan kecemerlangan mereka oleh LCB. Majlis seumpama itu diadakan untuk mencerminkan penghargaan yang tinggi dari LCB terhadap usaha gigih, dedikasi dan pencapaian luar biasa oleh para graduan yang diraikan.

    Antara graduan cemerlang yang diraikan oleh Haji Suhaimei dan PYT Alexandra McKenzie.

    Memandang ke hadapan, LCB akan memperkenalkan Master’s in Business Management di bawah Program University of Essex yang akan dilancarkan pada September 2025.

    Gambar ramai PYT Alexandra McKenzie, Haji Suhaimei dan para jemputan khas dengan para graduan cemerlang yang diraikan di majlis berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda