Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    21 Kadet tentera UNISSA dinaikkan pangkat

    Gambar serahan UNISSA

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Seramai 21 orang ahli kadet tentera dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menerima kenaikan pangkat dalam majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, UNISSA, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian tanda pangkat ialah Pegawai Memerintah Kadet Tentera, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), 905 Mejar Saleha binti Haji Alim.

    Menurut UNISSA, antara lain tujuan majlis itu adalah untuk memberikan penghormatan kepada ahli-ahli kadet tentera UNISSA di sepanjang perkhidmatan selain memberi semangat agar sentiasa bersatu padu dalam meneruskan perjuangan mereka.

    Pada majlis tersebut, dua orang ahli kadet telah dinaikkan pangkat kepada Staf Sarjan, enam dinaikkan pangkat kepada Sarjan, lapan kepada Koperal manakala itu selebihnya dinaikkan kepada pangkat Lans Koperal.

    Guru pengawas kadet tentera UNISSA, 544 Pegawai Waran 1 KT Muhammed Sahrin bin Haji Masri menjelaskan bahawa dengan majlis itu, ia diharapkan supaya akan dapat menguatkan lagi semangat ahli-ahli kadet tentera UNISSA dan akan sentiasa bersedia berkhidmat, di samping memberikan yang terbaik dalam apa juga bidang yang diceburi sama ada di dalam mahupun di luar aktiviti kadet tentera.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Unit Kokurikulum, UNISSA, Haji Hayattuddin bin Haji Moksin, dan pegawai-pegawai Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) serta barisan pegawai tadbir Pasukan Kadet Tentera ABDB.

    Tetamu kehormat bergambar ramai bersama ahli-ahli kadet tentera UNISSA yang dinaikkan pangkat.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda