21 maut dalam banjir di Tennessee

WASHINGTON, 23 OGOS – Angka korban insiden banjir buruk yang melanda Tennessee di selatan Amerika Syarikat (AS), meningkat kepada sekurang-kurang 21 mangsa dan 20 lagi dilaporkan hilang, kata pegawai tempatan, semalam.

Dalam kejadian kelmarin, Tennessee dibadai hujan lebat bersama ribut serta banjir yang disifatkan pakar meteorologi sebagai ‘bersejarah’. Bencana itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik meluas yang menjejaskan ribuan penduduk, selain air menenggelami laluan di kawasan luar bandar dan lebuh raya, malah turut memusnahkan jambatan.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Humpreys County yang terletak kira-kira 90 minit perjalanan dari Nashville, dilanda hujan lebat selama 24 jam kelmarin.

Gabenor Tennessee, Bill Lee menyifatkan keadaan musibah berkenaan sebagai menyayat hati di Waverly yang terkesan teruk sehingga mengorbankan 20 mangsa, selain ramai yang kehila-ngan tempat berlindung.

Ketua Polis, Grant Gillespie pula memaklumkan satu lagi korban bencana itu dikesan di sebuah kawasan lebih terpencil di daerah terbabit.

Sementara itu, Sherif Chris Davis di Humphreys County memberitahu rangkaian CNN bahawa mereka yang terkorban termasuk dua budak kecil dan enam kanak-kanak hilang. – AFP

Anggota penyelamat sukarelawan bomba meredah air banjir semasa operasi menyelamat di Helmetta, New Jersey pada 22 Ogos 2021. – AFP