BANGKOK, 17 OGOS — Kira-kira 21 orang termasuk seorang wanita hamil terbunuh dalam serangan udara tentera Myanmar di bandar Mogok, pusat perlombongan permata utama negara itu, menurut kumpulan penentang bersenjata, penduduk tempatan dan media dalam talian, kelmarin.
Serangan pada Khamis, kira-kira jam 8:30 malam di kawasan Shwegu, Mogok, terletak 115 kilometer timur laut Mandalay, turut menyebabkan tujuh lagi cedera selain merosakkan rumah penduduk dan bangunan biara Buddha, kata jurucakap Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang (TNLA), Lway Yay Oo.
“Sekitar 21 orang awam maut manakala tujuh cedera. Beberapa kediaman dan bangunan biara Buddha turut rosak,” katanya.
Kenyataan TNLA di saluran Telegram kumpulan itu malam Jumaat menyebut, 16 wanita antara mangsa yang terbunuh dalam serangan udara berkenaan yang dipercayai menyasarkan sebuah biara di Shwegu.
Mogok, yang terkenal sebagai pusat perlombongan batu delima di wilayah utara Mandalay, dikuasai TNLA pada Julai 2024. Kumpulan itu adalah sebahagian daripada gabungan militia etnik sejak akhir 2023 berjaya menawan sebahagian besar wilayah di timur laut Myanmar, berhampiran sempadan China.
Serangan udara terhadap kawasan awam semakin kerap dilancarkan tentera Myanmar dalam usaha menawan semula wilayah yang jatuh ke tangan kumpulan penentang, selepas rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang mencetuskan perang saudara berpanjangan di negara itu. – AP


