ISTANBUL/TEHRAN, 20 MAC – Kira-kira 21 orang maut manakala 6,419 lagi cedera semasa perayaan Chaharshanbe Suri, iaitu festival api tahunan di Iran, lapor agensi anadolu (AA) memetik kenyataan pihak berkuasa kelmarin.
Festival yang diraikan semalam sebelum Nowruz – Tahun Baharu Parsi – menyaksikan penduduk di Tehran dan bandar-bandar lain menyalakan api serta melompat melepasinya, selain bermain bunga api, mercun dan juga bahan letupan buatan sendiri.
Meskipun Jabatan Polis Tehran memberi amaran keras serta menggunakan dron bagi memantau penggunaan bahan letupan, beberapa insiden tetap berlaku hingga mengakibatkan kematian dan kecederaan.
Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Iran mengesahkan 18 daripada mangsa masih kritikal.
Wilayah Tehran, Azerbaijan Timur dan Azerbaijan Barat mencatatkan jumlah kecederaan tertinggi. – Bernama
