NAIROBI, 2 NOV – Sekurang-kurangnya 21 orang maut manakala lebih 30 lagi dilaporkan hilang selepas kejadian tanah runtuh melanda Marakwet East di Elgeyo Marakwet County dekat Rift Valley, Kenya berikutan hujan lebat, lapor agensi Anadolu yang memetik kenyataan Menteri Dalam Negeri Kipchumba Murkomen lewat kelmarin.
Murkomen berkata seramai 25 mangsa yang cedera parah telah diterbangkan ke Eldoret untuk menerima rawatan perubatan khas, manakala mereka yang cedera ringan dirawat berdekatan lokasi kejadian.
“Kami telah mengesahkan kehilangan 21 nyawa akibat tragedi ini, manakala lebih 30 orang masih belum ditemui seperti dilaporkan oleh keluarga mereka,” katanya.
“Misi mencari dan menyelamat akan disambung semula esok dengan penyertaan pasukan tentera dan polis bersama agensi lain serta komuniti tempatan,” tambahnya. – Bernama


