Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Sebanyak 21 pain darah telah berjaya dikumpulkan pada kempen derma darah anjuran Kolej Cosmopolitan di bawah kendalian para pelajar Pearson BTEC International Level 2 Certificate In Information Technology dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan di kolej tersebut hari ini.
Kempen menyaksikan kehadiran warga kolej dan orang ramai mendermakan darah bermula jam 10 pagi.
Naib Presiden Majlis Pelajar Kolej Cosmopolitan, Dayangku Nur Aisyafiqah binti Pengiran Ismail selaku ahli jawatankuasa penganjur kempen, melahirkan harapan agar lebih ramai pihak tampil menderma darah di mana-mana kempen yang dijalankan pada masa akan datang.
Ini adalah untuk membantu tabung darah di hospital bagi keperluan mereka yang memerlukan dan memastikan bekalan darah tidak berkurangan, tambahnya.
Kerjasama kempen menderma darah itu dihasrat-kan dapat memberikan kesedaran kepada orang awam secara umumnya mengenai kepentingan menderma darah yang boleh menyelamatkan banyak nyawa dan membantu khususnya pihak Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi keperluan menambah lagi stok darah yang ada pada masa ini.
Dayangku Nur Aisyafiqah menyeru mereka yang belum pernah menderma darah untuk tampil ia bukan sahaja dapat membantu pesakit yang memerlukan bahkan baik untuk kesihatan tubuh badan penderma.




