Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    21 pelajar lanjut pengajian di LPUVT

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Seramai 21 orang pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) yang mengikuti Diploma dalam Operator Penapisan di bawah Program Biasiswa Bersama Hengyi Industries Sdn Bhd dan IBTE telah berlepas ke Republik Rakyat China hari ini, untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Vokasional Petrokimia Lanzhou (LPUVT).

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo.
    Para pelajar berkenaan merupakan kumpulan kelima yang dianugerahkan biasiswa di bawah Program Biasiswa Bersama Hengyi Industries, IBTE dan LPUVT.

    Program menawarkan kursus diploma tiga tahun dalam Operator Penapisan, dengan setahun pengajian akademik di IBTE Kampus Jefri Bolkiah, setahun pengajian dengan LPUVT di Lanzhou, dan setahun latihan penempatan kerja dengan Hengyi Industries at Pulau Muara Besar.

    Setelah tamat program, pelajar dijangka menyertai Hengyi Industries dan memulakan kerjaya mereka dalam industri petrokimia.

    Beberapa pelajar berkongsi kegembiraan dan keterujaan mereka untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan dan menggunakan peluang yang diberikan bagi mempertingkatkan lagi ilmu dan kemahiran dalam bidang tersebut.

    Gambar ramai pelajar bersama Chen Lian Cai, Dr Haji Mohd Zamri dan TYT Xiao Jianguo di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kelmarin. – Gambar serahan Hengyi Industries

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda