Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    21 terima lencana, empat lagi naik pangkat

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 10 Ogos – Seorang pemimpin dan tujuh orang ahli Pasukan Pengakap 3018 Maktab Anthony Abell Seria telah menerima Lencana Ahli Pengakap Sedunia pada majlis yang berlangsung di maktab berkenaan, hari ini.

    Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Lencana Scout Standard kepada seramai 13 orang ahli pengakap dan empat orang lagi menerima sijil kenaikan pangkat daripada Pengakap Muda kepada Pengakap Remaja.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait, Awang Mohamad Hatta bin Haji Suhaili; Pemangku Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tutong, ACP (B) Haji Murad bin Haji Abdul Hadi; Pemangku Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait Bahagian Pengakap Muda dan Remaja, Awang Mohammad Haslan bin Haji Suhaili; Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Belait Bahagian Pentadbiran, Awang Mohammad bin Haji Suhaili dan Awang Muhammad Hamdanajib bin Haji Domeng.

    Ahli-ahli pengakap bergambar ramai semasa majlis penyampaian lencana dan sijil kenaikan pangkat di Maktab Anthony Abell Seria.

    Skim Anugerah dan Lencana-lencana Kemajuan merupakan isi pelajaran yang dilaksanakan dalam sesi perjumpaan pasukan, semata-mata untuk mengembangkan program belia. Ia dilaksanakan menjurus kepada empat aspek utama bagi menanai visi dan misi Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) iaitu mengenai perkembangan fizikal, mental, rohani dan sosial ahli-ahli pengakap ke arah pergerakan yang positif.

    Bagi melayakkan pemimpin pengakap dan ahli pengakap dianugerahkan Lencana Ahli Pengakap Sedunia, mereka perlu memenuhi beberapa kriteria seperti persetiaan dan undang-undang pengakap, hormat pengakap, pakaian seragam pengakap, istiadat-istiadat pengakap dan ilmu pengetahuan mengenai pergerakan pengakap.

    Manakala bagi penganugerahan Lencana Scout Standard, ahli perlu memenuhi kriteria antaranya ketaatsetiaan kebangsaan, percaya kepada diri sendiri, tanggungjawab, penjelajahan, kemahiran dan kawad kaki. Apabila ahli Pengakap Muda mencecah usia lebih 14 tahun, mereka akan diserapkan ke Pengakap Remaja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda