Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    210 graduan lakar kejayaan

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Seramai 210 graduan Institut KEMUDA melakar kejayaan bermakna setelah menamatkan pengajian dan diraikan pada Majlis Konvokesyen Institut KEMUDA ke-7, di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Daripada 210 graduan itu, 79 adalah graduan BTEC Diploma dalam Teknologi Maklumat (IT) Peringkat 3; seramai 69 graduan BTEC Sijil dalam IT Peringkat 2; 49 graduan BTEC HND dalam Pengkomputeran Peringkat 5; enam graduan NCC Diploma dalam Pengkomputeran Peringkat 3; dan tujuh graduan NCC Diploma dalam Pengkomputeran Peringkat 4.

    Pengetua Institut KEMUDA, Awang Khairy Yusrin bin Haji Salam dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan Institut KEMUDA membuka satu lagi kursus baharu iaitu Pearson’s BTEC Level 1 Introductory Diploma in IT khusus bagi pelajar yang tidak mempunyai kredit peringkat O yang mencukupi untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

    Ianya adalah salah satu usaha mereka yang sejajar dengan Wawasan Negara 2035 untuk menjadikan Brunei Darussalam terdiri daripada masyarakat berpendidikan tinggi.

    Di samping itu, katanya, Institut KEMUDA juga berjaya membuka beberapa kursus profesional jangka pendek, yang diiktiraf seperti ‘NCC Keselamatan Siber’, ‘Adobe Certified Professional’, ‘Game Development’ dan ‘Analitis Data’ untuk keperluan orang ramai khususnya kepada mana-mana organisasi tempatan yang ingin meningkatkan kemahiran kakitangan-kakitangan mereka.

    “Kursus-kursus jangka pendek ini dipercayai dapat memberi manfaat yang tinggi, terutama bagi kakitangan-kakitangan yang menggunakan pelbagai saluran digital dalam pekerjaannya,” jelas Awang Khairy Yusrin.

    Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan Institut KEMUDA.

    Selain itu, beliau juga mengongsikan Institut KEMUDA berjaya menjalin kerjasama dengan beberapa rakan kongsi seperti Comptia, Prometric dan BruCert dalam usaha menawarkan lebih banyak lagi kursus profesional jangka pendek yang diiktiraf serta menjadi pusat latihan dan ujian teknologi maklumat pilihan ramal.

    “Alhamdulillah, baru-baru ini, Institut KEMUDA juga, telah mula bekerjasama dengan Cyber Security Brunei, yang merupakan agensi keselamatan siber Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan beroperasi di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    “Kerjasama yang terbentuk ini, adalah bertujuan untuk sama-sama meningkatkan kesedaran tentang ancaman siber, baik dalam sektor awam, mahupun dalam sektor swasta,” katanya.

    Awang Khairy Yusrin seterusnya mengongsikan bahawa pada tahun ini, 60 peratus daripada graduan KEMUDA Institute telah berjaya mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai sektor awam dan swasta. Manakala 40 peratus lagi, berjaya menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, di institusi pengajian awam tempatan seperti UTB, UBD dan di luar negara.

    Juga hadir pada majlis konvokesyen itu ialah Pengerusi Institut KEMUDA, Dato Paduka Haji Abdul Razak bin Haji Muhamad; ahli Lembaga Pengarah Institut KEMUDA, Awang Shaiful Arief bin Dato Paduka Haji Abdul Razak; Pengarah Urusan Institut KEMUDA, Loo Mei Tim; para jemputan khas, tenaga akademik dan pengurusan Institut KEMUDA serta ibu bapa graduan yang diraikan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...