Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Seramai 210 orang pelajar yang telah menamatkan pengajian di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) telah pun diraikan pada Majlis Tamat Pengajian Pelajar Pra-Universiti 2 Sesi 2012-2017 yang berlangsung di auditorium maktab berkenaan, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Maktab Sains, Pengiran Anuar Husaini bin Pengiran Haji Rambli
Majlis anjuran Unit Tingkatan Enam Maktab Sains itu bertujuan untuk menghargai sumbangan dan penglibatan para pelajar dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum sepanjang mereka berada di maktab berkenaan.
Di samping itu juga untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara para pelajar, guru-guru dan ibu bapa serta penjaga.
Timbalan Pengetua Pentadbiran (Sesi petang) Maktab Sains, Dayang Zabaidah binti Tuah semasa menyampaikan ucapan selaku wakil pengetua menjelaskan bahawa pengajian para pelajar telah pun tamat tetapi perjuangan hidup masih lagi diteruskan dengan pelbagai lagi jenis rintangan dan cabaran pada masa akan datang.
Dengan zaman moden yang kini melalui pelbagai perubahan, terdapat pelbagai cabaran yang harus dihadapi oleh pelajar seperti mencari pekerjaan mengikut kesesuaian masing-masing dan beliau berharap para pelajar akan tidak berputus asa dan sentiasa mempunyai mindset yang positif.
Beliau menyeru agar pelajar akan dapat menggunakan ilmu pengetahuan yang diperolehi sebagai alat untuk meningkatkan kemahiran diri sendiri dan berharap agar mereka akan meneruskan lagi pengajian mereka ke tahap seterusnya.
“Ia adalah menjadi kewajipan para pelajar sebagai Anak Bangsa Brunei bagi menyokong visi Baginda Sultan terhadap Wawasan 2035 dan fokus para belia adalah untuk meneruskan usaha untuk menjadi belia yang berkemahiran tinggi dengan pengajian yang berkualiti agar dapat setanding dengan standard antarabangsa,” ujarnya.
Majlis turut mendengarkan ucapan daripada wakil pelajar Pra U2 Sesi 2012-2017, Awangku Mas’ud bin Pengiran Zaidatul Bahri selain persembahan pelajar, tayangan audio visual dan penyampaian sijil penghargaan.