BANGKOK, 30 APRIL – Seramai 213 rakyat Thailand dan keluarga mereka yang terkandas di Sudan sudah pun kembali ke tanah air, kata jurucakap Kementerian Luar Kanchana Patarachoke.
Beliau berkata kumpulan pertama terdiri 78 rakyat Thailand selamat tiba pada malam Khamis.
“Penerbangan khas yang dikendalikan Tentera Udara Diraja Thailand membawa kumpulan kedua terdiri daripada 135 warga Thailand dan keluarga mereka dari Jeddah, Arab Saudi menuju ke Bangkok malam semalam.
“Esok, satu lagi penerbangan khas Tentera Udara Diraja Thailand akan membawa baki kumpulan terakhir lima pelajar Thailand yang baru tiba di Jeddah hari ini, sekali gus menamatkan operasi membawa keluar warga Thailand dari Sudan ke Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kanchana berkata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Don Pramudwinai, mengucapkan terima kasih kepada pelbagai organisasi yang terlibat dalam operasi itu, termasuk Tentera Udara Diraja Thailand, Konsulat Thailand di Khartoum, Kedutaan Diraja Thailand di Riyadh dan Kaherah serta Konsulat Jeneral Diraja Thailand di Jeddah.
Beribu-ribu orang termasuk warga asing telah meninggalkan Sudan sejak keganasan meletus antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada 15 April yang setakat ini sudah meragut 512 nyawa manakala lebih 4,000 lagi cedera. – Bernama