Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    217 pesara Kementerian Pendidikan dirai

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Seramai 217 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan yang telah bersara pada 2022 diraikan pada majlis yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Mereka yang diraikan terdiri daripada 61 orang pegawai dan kakitangan dari jabatan-jabatan, 156 orang tenaga pengajar dan kakitangan yang bertugas di sekolah-sekolah rendah, menengah dan maktab-maktab, serta institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dalam ucapan penghargaannya berkata, majlis itu bertujuan untuk mengungkapkan ucapan terima kasih dan menzahirkan tanda penghargaan, penghormatan dan pengiktirafan pihak Kementerian Pendidikan ke atas segala jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan.

    Menurut beliau, walau apa jua rupa bentuk perkhidmatan yang telah di-sumbangkan oleh para pesara, sama ada tugas pejabat, khidmat dukungan mahupun mendidik pelajar di sekolah dan sebagainya, secara individu atau berpasukan, secara langsung mahupun tidak langsung telah ba-nyak membantu dalam mencorak dan mewarnai landskap pendidikan ke arah mencapai visi, misi dan matlamat Kementerian Pendidikan selain sama-sama mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Antara pesara yang hadir semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

    “Para pesara yang diraikan merupakan Generasi X yang banyak melalui evolusi dalam bidang teknologi khasnya. Dari tahun-tahun awal penggunaan mesin taip, personal computer, video games kepada ledakan internet, para pesara merupakan generasi yang cukup bijak, berdikari, mudah menerima, menyesuaikan diri, adaptif, dan mengekalkan keseimbangan kerja kehidupan

    “Mengingat pepatah Inggeris, ‘Life begins at retirement’ mengundang kita untuk melihat bahawa persaraan hanyalah satu lagi peralihan untuk membuka lembaran baharu dalam kehidupan yang berbeza. Para pesara melepaskan tugas dan tanggungjawab dalam jawatan abiskita yang dipikul selama ini. Ini setentunya membuka peluang bagi para pesara meneroka dan melaksanakan apa jua keinginan dan impian yang masih belum terlaksana dengan membuat perancangan yang sesuai kemampuan dan tahap kesihatan masing-masing” kata Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati.

    Acara kemuncak majlis ialah penyampaian sijil dan cenderamata kenang-kenangan kepada pegawai dan kakitangan yang bersara oleh tetamu kehormat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda