22 Julai bakar semangat penduduk Sarawak untuk berjaya

KUCHING – Sungguhpun tiada sambutan besar-besaran kerana pandemik COVID-19, semua penduduk Sarawak akan memperingati sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai dengan semangat dan ketahanan yang kuat.

Mereka pasti akan meneladani semangat dan ketahanan yang tidak mudah luntur yang ditunjukkan oleh nenek moyang mereka ketika memutuskan untuk mentadbir tanah air sendiri dalam perjalanan kemerdekaan 58 tahun yang lalu.

Ia adalah perjalanan yang penuh dengan dugaan dan penderitaan, tetapi yang pasti ia memberikan banyak kejayaan kepada Sarawak sejak tarikh keramat itu pada tahun 1963 ketika gabenor kolonial British yang terakhir, Sir Alexander Waddell, mengundurkan diri dan menyerahkan pentadbiran Sarawak kepada rakyatnya sendiri.

Mengimbau kembali kronologi sejarah Sarawak, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan menjadi rakyat Sarawak pertama mengetuai pentadbiran, sekali gus membawa kepada penamatan selama 122 tahun pemerintahan di bawah Rajah Putih, Jepun, Tentera Australia dan akhirnya, British.

Pengambilalihan pentadbiran turut mendedahkan penduduk Sarawak kepada cabaran baharu apabila terpaksa berdepan dengan pemberontakan Komunis serta tentangan dari negara jiran, Indonesia kepada cadangan pembentukan Malaysia yang berlaku pada tahun-tahun awal pemerintahan sendiri. Walau bagaimanapun, penduduk Sarawak tetap cekal. Mereka menerima pelawaan daripada Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk negara baharu dinamakan Malaysia, bersama Singapura dan Sabah, yang diisyiharkan secara rasmi pada 16 Sept 1963. (Singapura meninggalkan Persekutuan pada tahun 1965).

Kerajaan Sarawak menyedari kesan pandemik COVID-19 ke atas ekonomi apabila menawarkan bantuan khas ‘Bantuan Khas Sarawakku Sayang’ atau BKSS, untuk meringankan beban kewangan rakyat. – Bernama

Namun, ia mengambil masa 24 tahun lagi bagi Sarawak, selepas berakhirnya konfrontasi, untuk menghapuskan pemberontakan komunis pada 1990, dengan dunia menyaksikan selepas itu kejatuhan banyak negara yang diterajui komunis termasuk Kesatuan Soviet.

Dua abjad ‘C’

– Confrontation (Konfrontasi) dan Communism (Komunisme) – menandakan  hari-hari gelap yang ditempuh rakyat Sarawak pada awal tahun kemerdekaan mereka dan ironinya, satu lagi ‘C’ muncul sebagai satu lagi cabaran pada tahun 2020 apabila Sarawak menginjak usia 57 tahun kemerdekaannya. 

Menjelang Mac 2020, Sarawak merekodkan kes pertama koronavirus yang kemudian dinamakan sebagai COVID-19. Sarawak mengawal dengan baik pandemik itu tahun lepas, yang mencatatkan 1,117 kes dengan 22 kematian. 

Kerajaan negeri Sarawak menyedari kesan pandemik COVID-19 ke atas ekonomi apabila menawarkan bantuan khas ‘Bantuan Khas Sarawakku Sayang’ atau BKSS, untuk meringankan beban kewangan rakyat. 

Bantuan itu yang berjumlah lebih RM3.2 bilion, diagihkan dalam enam pakej antara April tahun lepas dan Mei tahun ini meliputi wang tunai, diskaun utiliti, bayaran khas dan pinjaman mudah untuk perusahaan kecil dan sederhana.

Selain penyediaan bantuan segera ini, kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah merangka visi jangka panjangnya untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030. – Bernama