Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 DIS –Sebanyak 22 buah keluarga dari golongan yang kurang berkemampuan di Kampung Sungai Pandan dan Kampung Setia telah menerima agihan barangan keperluan rumah dalam Projek #INFAQ1 sempena Hari Bertindak baru-baru ini.
Projek berkenaan dengan inisiatif Beli Dan Sedekahkan itu disokong oleh Majlis Belia Brunei yang mana dua acara pengagihan telah dilaksanakan secara berasingan pada 18 dan 19 Disember.
Sebanyak 12 set barangan keperluan rumah telah diagihkan kepada keluarga di Kampong Sungai Pandan sementara 10 set barangan lagi diedarkan di Kampong Setia B.
Setiap satu isi rumah menerima bungkusan berisi minyak masak, sebungkus beras, dulang telur, biskut, uncang teh dan mee segera.
Projek berkenaan adalah sebagai sebuah platform kepada orang ramai untuk turut serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan telah pun mengagihkan 1,000 keperluan isi rumah ke seluruh negara sejak penubuhannya pada 2021.
Dengan menangani keperluan keluarga yang kurang berkemampuan, projek ini antara lain bertujuan untuk menceriakan penerima, memupuk budaya penyayang, menggalakkan tanggungjawab kolektif dan mengukuhkan komuniti berdaya tahan.
Sehubungan itu, Projek #INFAQ1 mengalu-alukan individu dan organisasi untuk bekerjasama dalam meningkatkan dan memperkasakan masyarakat yang kurang berkemampuan.
Maklumat lanjut mengenai Projek #INFAQ1 boleh didapati dengan menghubungi talian 8172871 atau layari @projek_infaq1 di Instagram.
Antara penerima-penerima agihan dalam Projek #INFAQ1 – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN MAJLIS BELIA BRUNEI

